Status Menteri Kabinet Tidak Bermakna Guan Eng Terlepas Dari Undang-undang, Tegas Khusairi


TANJUNG MALIM, 7 Mac – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dengan tegas berkata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sewajarnya didakwa di bawah Akta Hasutan kerana membuat kenyataan berunsur hasutan.

Desaknya, biarpun Setiausaha Agung Dap itu mempunyai kedudukan sebagai menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH), tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadapnya.

“Biarpun Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng membuat pembetulan konon mahu melembutkan sedikit kenyataan awal, tapi niatnya tetap sama – dia mahu melagakan rakyat berbilang kaum di negara ini, khususnya antara orang Melayu dan bukan Melayu.

“Sikap sebegini amat tidak bertanggungjawab dan merupakan satu hasutan yang amat dahsyat.

“Tidak ada disebut sama sekali oleh pemimpin UMNO ataupun PAS bahawa penyatuan ummah antara dua parti Melayu terbesar itu mahu mengancam, apatah lagi mahu mengisytiharkan perang (declaration of war) ataupun mensasarkan (target) orang bukan Melayu,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Justeru Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim menimbulkan pertanyaan kepada Guan Eng.

“Apakah menjadi satu kesalahan untuk orang Melayu bersatu demi perpaduan ummah?

“Apakah Guan Eng mahu hanya orang Cina bersatu di bawah Dap seperti yang telahpun dia capai, tapi sebaliknya nakkan supaya orang Melayu selamanya berpecah-belah, berbalah dan bercakaran antara pelbagai parti?,” soalnya.

Hakikatnya, jelas Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu lagi, amat nyata kenyataan Guan Eng tersebut menonjolkan lagi sikap rasis Dap yang melampaui batas.

“Bukan sekadar rasis, malah kenyataan ini merupakan satu hasutan yang boleh meranapkan sama sekali keharmonian sebuah negara majmuk seperti Malaysia,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.