PH Jangan Ubah Buku Teks Sejarah Sekolah! – Pakar Sejarah


KUALA LUMPUR 7 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya Kementerian Pendidikan perlu membuat penegasan untuk tidak membenarkan sebarang cubaan mengubah kandungan buku teks sejarah sekolah seperti yang dilakukan oleh sekumpulan pengkaji sejarah ketika ini.

Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, tindakan mengubah kandungan buku teks sejarah sekolah akan menyebabkan ketidakseragaman fakta sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Lebih membimbangkan kata beliau, tindakan itu turut memperlihatkan betapa ghairahnya kumpulan pengkaji yang menggelarkan diri sebagai pakar sejarah mencabar dasar perpaduan dan pendidikan negara tanpa ada perasaan hormat.

“Bagaimana kumpulan pengkaji yang mahu mengubah kandungan mata pelajaran sejarah ini boleh dianggap sebagai pakar sejarah sedangkan latar belakang pendidikan mereka adalah dalam bidang berbeza.

“Alasan kumpulan pengkaji ini adalah untuk memberi sejarah sebenar kepada rakyat adalah mengarut kerana setiap maklumat dalam buku teks sejarah sekolah diambil daripada pelbagai sumber sahih dan melalui proses pengesahan yang ketat,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berkenaan usaha sekumpulan pengkaji sejarah yang menjalankan projek untuk menulis semula sejarah secara inklusif atau menyeluruh dalam buku teks sekolah dalam masa empat tahun akan datang.

Mengulas lanjut, Ramlah yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Silibus Buku Teks Sejarah Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan dari 2014 hingga 2017 berkata, amat penting untuk mengekalkan fakta dalam buku teks sejarah sekolah tanpa ada sebarang tokok tambah bagi mengelakkan kecelaruan sumber rujukan dalam kalangan pelajar.

Katanya, buku teks sejarah mempunyai peranan besar dalam usaha kerajaan memupuk perpaduan antara kaum dalam negara dan tidak boleh dijadikan sebagai alat untuk meruntuhkan pemikiran anak bangsa.

“Lihat saja rakyat Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat yang hormat kepada sejarah tanah air mereka. Mengapa ada segelintir rakyat Malaysia sanggup mencabar dan mengacau dasar negara ini? Adakah sudah hilang rasa hormat kerana mudah mendapat kewarganegaraan berbanding negara lain?

“Bibit-bibit hilangnya semangat patriotisme dapat dilihat ketika ini apabila bahasa kebangsaan kita semakin dipinggirkan. Sekarang ada pula yang mahu ubah sejarah dengan alasan mahu maklumat lebih inklusif atau menyeluruh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.