Kenyataan Guan Eng Terlalu Celupar, Sangat Cauvinis dan Rasis! – Reezal Merican


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membidas Lim Guan Eng yang nampaknya masih hidup dalam dunia politik keluarga dan parti DAP yang terlalu rasis.

Katanya, ini manifestasi DNA pemimpin DAP yang penuh cauvinisme dan tidak pernah senang dengan gerak perpaduan orang Melayu.

“Sikap dan DNA seperti Guan Eng inilah yang merosakkan keharmonian kaum di Malaysia. Penyatuan fikrah orang Melayu terlalu pantas dianggap sebagai ‘gendang perang’; sedangkan bukan itu niat asalnya,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tegasnya, pemikiran Guan Eng ini cukup bahaya kepada Malaysia.

“Guan Eng menolak sama sekali kesatuan orang Melayu sebagai ‘tiang seri’ dan ‘teras’ keharmonian Negara!”

Soal beliau, sejak bila perpaduan orang Melayu mahu ‘memerangi’ kaum lain?

“Bukankah keharmonian Malaysia selama ini – sedikit sebanyak dipaksi teraskan kepada perpaduan orang Melayu – yang menjadi majoriti di negara ini?

“Pandangan dangkal dan berbahaya seperti ditampilkan Guan Eng ini ibarat menolak semangat Perlembagaan dan asas kepada perpaduan negara. Ini ‘penyakit’ dan ‘kudis’ kepada Malaysia Baharu. Kita boleh nampak jelas punca kudis politik degil dan jahat ini.”

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, kenyataan Guan Eng bukan kenyataan seorang ‘pemimpin’ kerana ianya kenyataan yang sarat dengan niat tersirat untuk menggalakkan perpecahan orang Melayu.

“Kita tahu perpecahan orang Melayu akan menguntungkan siapa. Kita juga tahu ‘orang’ mana yang bertepuk tangan jika Melayu berpecah. Kita juga faham, lebih celupar dan cauvinis, maka lebih ‘hero’lah seseorang itu di mata ‘komrad’ mereka.”

Selaras itu, beliau mengingatkan Guan Eng perlu lebih hati-hati dengan kenyataan yang dibuat.

“Jangan terlalu celupar. Jangan hidup di dalam dunia politik sempit dan terlalu cauvinis,” tegasnya lagi.

Semalam, dilaporkan Lim Guan Eng mendakwa kerjasama UMNO-PAS sebagai satu ‘isyarat perang’ terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu di Malaysia . – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.