Jika Benar Wujud ‘Rule Of Law’, Dedah Segera Hasil Siasatan Terowong Dasar Laut


KUALA LUMPUR, 6 Mac – Pengamal Undang-undang, Zamri Mohd Isa berkata, sekiranya benar kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) mengamalkan sikap ketelusan dan ‘rule of law’ itu benar-benar wujud, maka seharusnya rakyat dimaklumkan berkaitan siasatan isu penuh kontroversi pembinaan terowong dasar laut.

Jelas beliau, kes terowong dasar laut yang dulunya sedang dibicarakan tiba-tiba ‘lupus’ setelah kerajaan diambil-alih oleh PH malah ramai pengamal undang-undang tidak boleh menerima hakikat bagaimana kes yang mempunyai fakta kukuh untuk dibicarakan tiba-tiba ditarik oleh Jabatan Peguam Negara.

“PH sering melaung-laungkan ‘rule of law’, kononnya mahu memberi keadilan, tidak campur tangan dalam soal urusan proses undang-undang dan badan kehakiman tetapi apa yang kita dapat lihat dengan jelas ialah semua ini hanya halwa telinga… sedap didengar tetapi bukan secara realiti.

“Kita dapat lihat bagaimana berlaku pendakwaan terpilih dan paling tidak dapat diterima adalah berkaitan kes terowong dasar laut yang membabitkan Lim Guan Eng. SPRM sendiri terkejut apabila Jabatan Peguam Negara menarik kes ini.

“Kini, kes tersebut kembali hangat apabila penganalisis politik Raja Petra Kamarudin membuat pendedahan dokumen-dokumen yang didakwa kertas siasatan SPRM terhadap kes tersebut dan nama pemimpin dan bekas pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk Guan Eng disebut dalam dokumen-dokumen berkenaan. Jadi, kes ini harus disiasat dengan segera,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Zamri turut mempertikaikan, bagaimana projek yang telah dianugerahkan pada 2013, hanya akan memulakan pembinaannya pada 2030, itu pun sekiranya projek tersebut didapati sesuai dilaksanakan.

“Projek ini belum pasti dapat dibuat atau tidak tapi telah menelan belanja berjuta ringgit. Kos kajian kebolehlaksanaan juga menelan berjuta ringgit… sesuatu yang tidak munasabah. Projek yang menelan belanja RM6.3 bilion ini penuh dengan tanda tanya… pengaliran wang berjuta ringgit juga dipertikaikan sedangkan projek ini belum pasti dapat dibuat atau tidak.

“Kalau projek ini akhirnya tidak dibuat maka duit rakyat membazir begitu sahaja. Sebab itulah kes ini harus disiasat dengan betul tanpa ada sebarang campur tangan asing kerana yang bersalah harus dikenakan hukuman.

“Itulah sekiranya kerajaan baru ini mengamalkan ‘rule of law’… kalau hanya ada ‘rule of jungle’, saya pasti kes ini akhirnya akan diam begitu sahaja,” sindir beliau.

Untuk rekod, projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu akan menghubungkan Pangkor Road di George Town dengan Bagan Ajam di Butterworth.

Sementara itu, tiga projek jalan utama berkenaan melibatkan jalan dari Air Hitam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sejauh 5.7km; Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km); dan persimpangan Jalan Pangkor-Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).

Pelbagai kontroversi melanda projek ini dan CEO Zenith Construction sendiri pernah mengakui ada membayar jutaan ringgit kepada orang-orang tertentu untuk membantu syarikat ‘to provide consultancy services in regulatory compliance and risk management’.

Setelah laporan polis dan SPRM dilakukan, beberapa tangkapan telah dibuat namun sehingga kini tiada perkembangan dimaklumkan mengenai individu-individu yang ditahan reman oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berlaku perbuatan merasuah dalam projek tersebut.

Perkembangan kes itu seolah-olah sengaja disenyapkan selepas PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada Mei 2018.

Namun sejak beberapa hari lalu, kes ini kembali hidup semula setelah Raja Petra Kamarudin membuat pendedahan dokumen-dokumen yang didakwa kertas siasatan SPRM terhadap kes tersebut.

Berikutan pendedahan tersebut, SPRM telah membuat satu laporan polis mengenai kebocoron kertas siasatan membabitkan projek tersebut yang didakwa melibatkan beberapa pemimpin Dap. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.