PRK Semenyih Platform Referendum Rakyat Tolak Fitnah, Tolak Penipuan PH – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 28 Feb – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menjadi platform terbaik untuk rakyat khususnya di kawasan tersebut menolak budaya politik fitnah yang sering didendangkan oleh Pakatan Harapan (PH), tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail yang turut menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti, ia juga sebagai satu referendum daripada rakyat terhadap kerajaan PH yang bukan sahaja gagal, malah menipu dengan pelbagai janji palsu.

“Rakyat sedar tentang pembohongan, fitnah yang dilakukan oleh PH selama ini. Kerajaan yang dibentuk hari ini berlandaskan pembohongan dan fitnah, ‘you’ boleh bohong tapi jangan bohong sebanyak dua kali, akhirnya pembohongan dapat dibongkarkan.

“Apabila mereka berjanji, jual janji adalah berbohong sebab mereka tahu tak boleh melaksanakan janji tersebut,” tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor itu.

Ismail berkata demikian dalam Diskusi N24 Semenyih bertajuk ‘Semenyih… Beri Peluang BN’ yang disiarkan dalam Facebook UMNO Online, malam tadi.

Ini berbeza dengan Barisan Nasional (BN), tidak akan menjanjikan sesuatu di luar kemampuan semata-mata mahu menjadi populis seperti PH, tegas Ismail lagi.

“Kita BN nak hapuskan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), boleh… kita boleh katakan hapuskan hutang Felda untuk menjadi populis, kita boleh buat tetapi kita sedar perkara itu tidak boleh dibuat, jadi kita tak berjanji.

“Kita cuma mencadangkan beberapa opsyen tertentu untuk kita bantu dan berbagai insentif untuk membantu peneroka, pekebun kecil dan sebagainya tapi kita tidak berbohong dan mereka (PH) berbohong secara terus.

“Jadi pembohongannya dapat diketahui apabila janji itu gagal dilaksanakan, inilah yang menyebabkan rakyat sedar bahawa mereka selama ini dibohongi dan fitnah-fitnah tertentu telah dibongkarkan,” jelasnya lagi.

Justeru bidasnya, kerajaan PH adalah kerajaan yang tidak boleh dipercayai kerana tidak mampu menyelesaikan isu-isu yang berkaitan kepentingan rakyat, hanya tahu menyalahkan kerajaan terdahulu, BN serta memfitnah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Apa yang mereka buat menyalahkan kerajaan lama, memfitnah Datuk Najib tetapi isu rakyat tidak dapat diselesaikan.

“Di Semenyih ini melibatkan berbagai-bagai kategori lapisan masyarakat tetapi isu asas tidak pernah berubah, isu sara hidup, kos harga barang meningkat, isu dibohongi dan sebagainya merentasi semua golongan mendapat kesan dari pembohongan ini,” katanya.

Tambah Pengarah PRK N.24 Semenyih BN itu lagi, sepanjang kempen beliau melihat terdapat perubahan ‘mood’ yang ketara rakyat terhadap BN di mana ia semakin baik.

“Mereka berubah kepada BN apabila mereka membuat perbandingan. Kalau dulu tak ada perbandingan, PH kata akan buat tapi yang buruknya nampak pada BN. Selepas PH memerintah rakyat dapat peluang membuat perbandingan.

“Jadi bila letak BN dan PH mereka sudah tahu buat perbandingan di mana yang telah dibuat oleh BN dan di mana yang dibuat oleh PH, mereka nampak kegagalan PH. Kerajaan pada hari bukannya kerajaan yang mampu menjaga rakyat, sebab itu BN adalah pilihan terbaik,” ujarnya.

Justeru katanya, PRK Semenyih menjadi satu platform terbaik kepada pengundi di Semenyih memilih BN bagi menyatakan bantahan terhadap kegagalan kerajaan PH bukan sahaja tidak mempunyai dasar yang jelas menjaga kepentingan rakyat, malah bersikap ‘flip-flop’ dan ‘U-Turn’ dalam membuat keputusan.

“Inilah platform terbaik rakyat membuat bantahan. Kita tahu ramai rakyat tidak puas hati seperti di Semenyih penduduk selalu ke Kuala Lumpur melalui tol, dia akan rasa marah dan kecewa janji diberi dan kerajaan hari ini membuat lawak sekali lagi mengumumkan tol percuma di antara 11 malam – 5 pagi.

“Rakyat hendak waktu puncak, waktu bekerja daripada pukul 7.30 pagi – 11.00 pagi dan dari pukul 4 petang – 7 petang sewaktu mereka ulang alik kerja, tapi kerajaan hari ini memperbodohkan rakyat, seolah-olah rakyat tak boleh berfikir apabila mengumumkan suatu perkara semuanya ketawa,” tegasnya.

Begitu juga katanya rakyat khususnya golongan muda kecewa dengan tindakan kerajaan seperti kemelut pinjaman pendidikan PTPTN yang tiada kesudahan dan janji mewujudkan sejuta peluang pekerjaan tidak dipenuhi tetapi yang kelihatan pembuangan kerja.

“Kuasa rakyat Semenyih ditunggu oleh semua rakyat Malaysia sebab referendum rakyat bukan dari Semenyih (sahaja) tetapi referendum rakyat mewakili seluruh Malaysia,” ujarnya. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.