PRK Proses Biasa… Cuma Jangan Salah Pilih Pemimpin Supaya Tak Tertipu Dua Kali – Pengundi

SEMENYIH, 28 Feb –  Penduduk Pekan Semenyih melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan bukanlah perkara yang luar biasa malah ianya sama sepertimana Pilihan Raya Umum (PRU) kerana tugas pengundi adalah sama iaitu memilih seorang wakil rakyat.

Namun begitu, bagi Saharudin Osman, tugas kali ini berbeza kerana selain mendapat peluang kali kedua untuk membuat pilihan setelah berlalunya PRU ke-14 yang lalu, ia adalah peluang keemasan untuk memperbetulkan keadaan dengan menggunakan sebaik mungkin bagi kawasan terbabit.

Beliau yang ditemui UMNO-Online di Pasar Malam Pekan Semenyih adalah penduduk di Kampung Sentosa yang tanpa berselindung memaklumkan akan memilih calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi pada hari pembuangan undi nanti.

Ketika ditanya kenapa beliau berterus-terang menyatakan pilihan parti yang akan dipilih Sabtu ini, katanya, apa yang ada hari ini sekadar janji manis kerajaan Pakatan Harapan (PH), habuk pun tidak ada malah sekadar berjanji semata-mata.

“Janji sahaja manis tetapi habuk pun tidak ada. Saya dah kena tipu… mereka kata akan bantu rakyat tetapi akhirnya kami yang kena ‘kencing’ balik kat dia orang.

“BN pula memang tidak janji tetapi kalau dia kata nak buat dia akan buat… ini kita nak. Calon-calon kalau bolehlah jangan janji pelbagai… orang akan marah. Kalau boleh tidaklah perlu bergaduh dan biarlah suasana kempen itu berjalan elok,” katanya.

Katanya lagi permainan janji itu dan janji ini usahlah diteruskan lagi dan kalau boleh janganlah takbur kerana apa yang penting adalah melaksanakan segala janji berkenaan.

“Wakil rakyat yang perlu dipilih itu biarlah bak kata orang, janji janganlah takbur sangat… yang boleh janjikan bulan dan bintang. Kalau tidak boleh buat jangan janji dengan orang… orang akan marah. Contoh nak turunkan harga minyak RM1.50… turunkan harga barang… PTPTN tetapi tidak ada.

“Malah janji-janji kalau menang hari ini esok selesai masalah kenyataan yang cukup meragukan. Itu tipu… Ahad mana pejabat buka… bukan setakat sebulan malah dua tiga bulan belum tentu lagi tunaikan. Itu sekadar janji kosong. Saya tidak akan percaya,” tegasnya.

Tambahnya lagi pertukaran kerajaan pada PRU yang lalu tidak memberi kesan yang cukup banyak terhadap rakyat.

“Tukar kerajaan… dulu GST barang mahal dan menyusahkan rakyat. Oklah… kita boleh terima namun SST hari ini kenapa pula teruk daripada GST? Nampak permainan diaorang. Saya rasa elok lagi GST daripada SSTlah. Terkesan dengan SST. Harga barang… nampak ketara sangat. Nampak belum ada apa-apa perubahan kepada rakyat secara  keseluruhannya.

“Pengundi di Semenyih… pastikan BN jadi pilihan…. Kepada anak-anak muda tolong buka mata untuk kali ini,” ujarnya.

Sementara itu seorang lagi penduduk yang menetap di Taman Pelangi dan hanya mahu dikenali sebagai Kak Nor, 42, berkata pengundi di DUN Semenyih masih ada masa untuk berfikir parti dan calon mana yang harus dipilih pada hari pembuangan undi nanti.

“Pertama tentunya nak dengar suara dan mesra dengan rakyat dan boleh selalu jumpa rakyat. Saya rasa pada waktu Datuk Johan daripada BN menjadi wakil rakyat dah elok dah… terbaik dah apa yang BN buat sebelum ini. Nak mengadu pun senang sebab ada jawatankuasa atau pusat aduan, memudahkan lagi pelbagai urusan penduduk setempat. Itulah antara karakternya,” katanya.

Berhubung dengan pelbagai janji yang ditawarkan oleh pihak PH, beliau pada dasarnya melihat janji-janji untuk rakyat memang bagus, namun apakah benar iltizam berkenaan dijanjikan pada PRK ini sedangkan yang sebelum ini pun masih belum tertunai.

“Entahlah… saya pun tak tau nak cakap… dia dah jadi kerajaan negeri… dah jadi kerajaan pusat. Buatlah yang dia dah janjikan tu dulu. Masalahnya yang dijanjikan tidak pula buat nak janji apa lagi.

“Kalau tidak boleh buat 100 peratus pun buatlah 50 peratus dahulu… berkenaan tol… berkenaan minyak dan sebagainya. Apa pun 2 Mac ini masing-masing pengundi buatlah pilihan yang terbaik untuk diri kita dan masyarakat Semenyih keseluruhannya. Tepuk dada tanya hati,” katanya sambil mengakhiri perbualan.

Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui sambil minum petang berhampiran Tesco Semenyih, Suhaimi, 40, melihat kerajaan PH hari ini seolah-olah sebuah kerajaan ‘try and error’ apatah lagi dengan kedudukan mereka yang tidak stabil.

Beliau menganggap bahawa kerajaan PH tidak stabil. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.