Himpunan Bantah Hina Nabi Di Seluruh Negara Selepas Solat Jumaat

KUALA TERENGGANU 27 Feb. – Himpunan Bantah Hina Nabi SAW akan diadakan di seluruh negara pada Jumaat ini bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook bernama Foo Sing Wai.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya kesal isu yang meragut ketenangan dan mencetuskan kemarahan umat Islam itu tidak ditangani sewajarnya apabila suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau sekali gus mempersoalkan adakah individu berkenaan dilepaskan oleh arahan atau pengaruh desakan politik tertentu berikutan tiada sebarang penjelasan konkrit oleh pihak berkuasa hingga kini.

“Persepsi awam sedang merebak dengan perasaan sangsi ekoran individu yang menghina Rasulullah SAW telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari ketiga dia direman walhal isu ini sangat sensitif.

“Atas kekesalan yang berlaku dan menuntut kedurjanaan ini ditangani sewajarnya, umat Islam akan menunjukkan solidariti menerusi bantahan aman selepas Solat Jumaat (lusa) seluruh negara dengan dipimpin sayap Pemuda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hishamuddin khuatir sekiranya berlaku tindak balas luar kawalan dalam isu tersebut tentunya akan menggugat ketenteraman awam justeru, pihak berkuasa digesa bertindak secara profesional serta bebas daripada campur tangan politik.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian sikap celupar, kurang ajar dan biadab segelintir individu yang menghina institusi Islam dan Nabi Muhammad SAW dilihat semakin berleluasa bahkan, dengan berani dilakukan di era Malaysia Baharu yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, keangkuhan dan kerakusan yang dibayangi DAP mengusik banyak terma asas tonggak negara termasuk peruntukan Perlembagaan Persekutuan terhadap kedudukan dan hak berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera yang turut cuba dirombak.

“Pelakuan mencerca atau menghina agama, negara, bangsa hatta individu sekali pun adalah tindakan melampau serta ekstrem kerana ia umpama menembak langsung ke jantung hati.

“Ia bukan sekadar boleh mengakibatkan pergaduhan atau rusuhan malah, api peperangan bersenjata. Demikian bahaya sewenangnya dicetuskan itu, maka pelaku dalam isu ini mesti ditangani secara serius,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.