PRK Semenyih: Rakyat Luah Rasa Tidak Puas Hati Pentadbiran PH

SEMENYIH, 26 Feb – Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pucuk pimpinan 9 Mei lalu, ramai yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan corak pentadbiran yang ditunjukkan.

Di media sosial juga jelas dapat dilihat bagaimana rakyat menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kegagalan kerajaan PH menunaikan janji 100 hari mereka.

Semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang lalu, juga terserlah bagaimana peti undi anak muda dan kakitangan kerajaan yang menolak Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kembali menyatakan sokongan.

PRK Semenyih juga, senario ini dapat lihat di mana pengundi Semenyih secara jelas melahirkan rasa ketidakpuasan hati mereka.

Nasir Rashid, 83, berkata, dirinya 100 peratus tidak berpuas hati dengan cara PH mentadbir negara.

“Banyak yang pak cik tidak puas hati… pemimpin yang ada dalam PH asyik menceritakan keburukan orang. Sepatutnya bila sudah memerintah fikir bagaimana hendak membangunkan ekonomi dan sebagainya.

“Jangan asyik cerita buruk orang… kalau tak nak memimpin, kenapa sibuk nak ambil alih negara. Sudahlah pemimpin sekarang ni main tangkap muat… tak ada pengalaman, habis kucar-kacir,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Bagi Raziz Abdullah, 33, kegagalan PH menunaikan janji menyebabkan rakyat tidak puas hati.

“Rakyat tidak mahu tahu masalah mereka, apa yang rakyat mahu, janji harus ditunaikan,” katanya.

Ella Che Ngah, 44, juga melahirkan pandangan yang sama.

“Kerajaan sekarang banyak ‘kencing’. Dulu ingat bila tukar akan jadi lebih baik, rupanya makin teruk,” luahnya.

Mohd Razif Bakhtiar, 45, pula berpandangan, semenjak PH mengambil alih negara, timbul banyak kecelaruan dan tindakan ‘u-turn’ yang menyebabkan rakyat kesal.

“Sudahlah janji tidak ditunaikan… banyak pula ‘u-turn’. Sebab itu di PRK Semenyih ini kita dapat lihat orang ramai sudah mula kembali menyokong BN,” katanya.

Antara janji PH apabila berkerajaan adalah pemansuhan PTPTN; satu juta peluang pekerjaan; hapuskan tol, turunkan harga minyak sehingga bawah RM1.50, hapuskan AES, perumahan golongan muda, hapuskan hutang peneroka FELDA dan pengurangan kos sara hidup yang masih gagal ditunaikan. Lebih parah, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang dijenamakan semula kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) dikurangkan selain cara permohonan yang rumit. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.