Kerajaan PH Hanya Sibuk Berpolitik, Pengundi Semenyih Perlu Beri ‘Wake-Up Call’– Annuar Musa


KUALA LUMPUR, 26 Feb – Pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah golongan terpenting bagi memberi ‘wake up call’ kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sibuk berpolitik tanpa menghiraukan rakyat yang perlu dibantu, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, kerajaan PH hanya sibuk dengan politik, sibuk nak merampas ‘ghanimah’ (rampasan perang), sibuk sesama sendiri tak habis-habis sehinggakan lupa janji-janji mereka untuk rakyat.

“Mereka bukan berebut dengan Barisan Nasional (BN) tetapi berebut sesama sendiri, maka mereka tersasar dengan agenda besar dan penting iaitu rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian dalam Diskusi N.24 Semenyih dengan tajuk perbincangan ‘Antara Janji, Harapan Dan Realiti Kerajaan PH’, malam tadi

Tegas beliau, inilah masanya rakyat harus memberi ‘signal’ yang kuat kepada kerajaan PH dan tentunya peluang ini dapat dilakukan dengan pengundian pada Sabtu, 2 Mac ini.

“Suara ini memberi ruang kepada DUN… tanpa rasa takut, ini peluang kita memberi ‘wake up call’ kepada kerajaan. Jangan beri signal yang salah, jangan beri PH menang kerana jika menang permasalahan yang rakyat pikul akan berpanjangan.”

Jelasnya, rakyat telah mengambil risiko pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dengan memilih PH berbanding BN.

“Bukannya suatu budaya bagi orang Malaysia untuk tukar kerajaan, tapi pada PRU-14 mereka memberanikan diri dengan harapan hendak dapat benda yang baru, yang lebih baik, tapi ternyata hari ini yang lebih baik hanya pengikut parti Dap sahaja.

“Mereka bantu masyarakat secara terpilih, tidak berlaku adil kepada pengundi dan rakyat… ‘lost situation’ bagi masyarakat dalam bandar termasuk rakyat dalam kawasan Semenyih.”

Dalam hal ini beliau menerangkan bahawa kesalahan dan kesilapan besar PH dalam memberikan peruntukan belanjawan yang hanya tertumpu kepada B40, sedangkan M40 ini rasa tersisih.

“Ini adalah satu kesalahan dan kesilapan besar PH… mereka menang kerana sokongan kelas menengah dan masyarakat bandar. Orang kampung di luar bandar kebanyakan memilih PAS dan UMNO, termasuk jajahan Pantai Timur, Kedah, Perlis dan sebagainya.

“Dalam PRU-14, mereka (PH) gunakan pengundi bandar untuk membangkitkan isu, ‘cost of living’, tol dan semua ini isu bandar.

“Ketidakcaknaan terhadap kemiskinan bandar, hubungan intelektual, kelas menengah, Melayu dan perkara yang berkaitan dengan konsumer rezab… tapi apabila mereka menjadi kerajaan, mereka tidak melihat semua perkara ini.”

Katanya, sejak PH mentadbir, jurang pendapatan ‘cost of living’ dalam bandar makin membengkak dan makin membesar.

“Secara fizikal kesusahan masyarakat di kampung dapat dilihat dengan mata, tapi kesusahan pengundi-pengundi di bandar tidak dapat dilihat secara fizikal.

“Cuba kita selami setiap rumah, berapa banyak diperlukan untuk membeli barang dapur, bayar sewa rumah, membayar minyak kereta, tol, berbanding dengan gaji mereka yang ada di bandar.

“Semenyih membangun, ada ekocity, ada bandar yang besar, tapi itu juga memberi gambaran kesempitan dan tekanan hidup yang mereka lalui, terutama dikalangan orang-orang Melayu.

Tegasnya lagi, inilah realiti yang kerajaan harus lihat, kerana apa yang dilakukan bercanggah dengan matlamat yang dijanjikan.

“Jurang perbezaan itu bukan sahaja tidak terwujud antara kaum tetapi juga intra-urban dan intra-regional,” terang beliau lagi.

PRK DUN Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Zakaria Hanafi, calon PH Muhammad Aiman Zainali, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada PSM.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.