Tiada Guna Ada Lesen Kereta F1 Kalau Selalu Langgar Tembok, Tak Ikut ‘Rule Of Law’ – Puad


BATU PAHAT, 25 Feb – Tiada gunanya mempunyai lesen memandu kenderaan Formula Satu (F1) jika sering kemalangan, terbalik dan terlanggar tembok tidak mengikut ‘rule of law’, bidas Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.

Puad dalam Facebooknya memberi gambaran tersebut merujuk kepada temubual terbaru Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin bersama akhbar Sin Chiew Daily, yang mengatakan Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) adalah pemandu lesen ‘L’ yang tidak terkejar Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M), pemilik lesen pemandu F1.

“Itu bermakna Lim Guan Eng, Mat Sabu, Dr Maszlee, Salahuddin Ayub, Dr Mujahid, Khalid Samad dan lain-lain rupanya adalah pemandu lesen ‘L’. Patutlah banyak sangat ‘U-Turn’ dan tidak ada perubahan yang mereka lakukan.

“Tetapi apa gunanya Tun M ada lesen memandu F1 kalau sering ‘accident’, terbalik, langgar tembok dan tidak ikut ‘rule of law’. Memang patut pun menteri lesen ‘L’ tidak terikut,” sinisnya.

Tambah bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu lagi, Tun Daim juga mendakwa Menteri lesen ‘L’ ini mewarisi pokok yang sudah kering dan perlu dua tahun untuk tumbuh kembali.

“Apakah itu sindiran terhadap Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa dia tidak akan jadi PM selepas dua tahun kerana pokok akan bertambah kering jika dia jadi PM,” soalnya juga.

Berhubung perkara tersebut, Puad menimbulkan persoalan benarkah dakwaan Daim bahawa PH mewarisi pokok yang sudah kering.

“Sebenarnya Kerajaan PH yang menjadikan pokok semakin kering. Apabila GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dimansuhkan kerajaan kehilangan hasil yang banyak. Sebab itu Kerajaan PH hanya mampu membayar BSH (Bantuan Sara Hidup) orang bujang sebanyak RM100 sahaja.

“Bahkan tindakan PH meratah duit Petronas sebanyak RM80 bilion, menjual aset GLCs (syarikat berkaitan kerajaan) seperti IHH, Axiata, Tabung Haji dan lain-lain mengakibatkan pokok semakin kering.

“Kerajaan PH juga gagal menarik kemasukan pelaburan asing yang banyak kerana dasar ‘U-Turn’ seperti membatalkan beberapa projek seperti ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) dan HSR (Keretapi Laju) menyebabkan pelaburan asing hilang keyakinan,” tegasnya.

Justeru katanya, timbul lagi persoalan sampai bila mahu dikekalkan sebagai pemegang lesen ‘L’.

“Setelah 9 bulan masih lagi lesen ‘L’? Sampai bila?

“Kini rakyat bertambah yakin mereka akan terus kekal dengan lesen ‘L’ dan tidak akan lulus sebab ‘boss’ mereka pun tidak boleh lagi memandu dengan profesional, sering kemalangan kerana mata sudah rabun dan umur sudah lanjut.

“Realitinya tidak ada pemandu F1 yang umur sudah lanjut. Bagaimana pula calon PH di Semenyih? Rasanya lesen ‘L’ pun tidak akan lulus,” sindirnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.