Cadangan Mekanisme Tol PH Tak Berpijak Di Bumi Nyata, BN Perintis Mansuh Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau


KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung dengan cadangan mekanisme kutipan tol yang dianggap tidak berpijak di bumi nyata.

Katanya, bila ada pemimpin yang memberi cadangan tol hanya dikenakan pada waktu puncak kesesakan sudah pasti ada pihak yang akan tidak berpuas hati.

“Pihak pertama mestilah operator lebuh raya dan kedua pihak yang menggunakan lebuh raya semasa caj dikenakan. Dengarnya caj tol takkan dikenakan hanya bermula pukul 11 malam hingga 5 pagi.

“Apa barang hanya percuma semasa rakyat kurang melalui laluan tersebut. Walaupun ia dikatakan belum sah namun yang pasti rakyat mula resah.

“Kita di UMNO Bahagian Shah Alam telah membuktikan Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau boleh dimansuhkan hasil kepimpinan dan kerjasama semua pihak, malangnya pengundi di Parlimen Shah Alam tetap memilih PH untuk memastikan semua tol di negara ini mansuh kesemuanya,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tegasnya, berpijaklah di bumi nyata.

“Tol dikenali sebagai tol kerana syarikat konsesi mengeluarkan modal membina tol dengan kos pengambilan tanah (land acquisition), kos kejuruteraan sivil, mekanikal dan elektrikal selain daripada kos buruh menelan belanja ratusan juta ringgit bukannya dengan semata-mata bajet Kerajaan.

“Sudah pasti pihak pemegang konsesi tol hendak untung juga dan untung ini memakan masa lebih 25 tahun.

“Usahlah pihak pemimpin PH sibuk menuduh BN (Barisan Nasional) pula sebagai pesalah dalam isu pemansuhan tol. Sendiri makan pengat, sendiri mahu ingat. Jangan Tai Chi masalah manifesto anda kepada kami,” katanya lagi.

Terdahulu, Kerajaan PH telah berjanji dalam manifesto pilihan rayanya lalu untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran secara berperingkat menurut terma perjanjian konsesi.

Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan Sabtu lalu memaklumkan kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti membabitkan empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Mengikut cadangan ‘congestion charge’ (caj kesesakan) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan bayaran itu yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari dan kadar tol akan dihapuskan pada waktu bukan puncak antara pukul 11 malam hingga pukul 5 pagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.