Malam Bersejarah Diteruskan Lagi Di Semenyih Menerusi Pentas Anak Muda

SEMENYIH, 24 Feb –  Pemuda UMNO dan Pemuda Pas malam tadi sepentas di Pentas Anak Muda, berceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dalam usaha membantu kemenangan calon BN, Zakaria Hanafi.

Selain itu, pentas berkenaan turut menampilkan Ketua Pemuda Ikatan serta Ketua Pemuda Berjasa.

Padang yang menempatkan pentas berkenaan bukan sahaja penuh dengan anak muda malah dengan penduduk setempat walaupun dikhabarkan tidak jauh daripada tempat berkenaan berlangsungnya program Pakatan Harapan yang dihadiri pimpinan utama.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapannya melihat sesiapa pun tidak pernah terfikir dua parti terbesar Melayu boleh duduk sepentas hari ini dan penuh yakin ianya akan terus diperkuatkan sehingga menuju Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau senario tersebut tentunya membimbangkan kerajaan Pakatan Harapan dan sudah pasti mereka cukup resah melihat perkembangan terkini antara kedua-dua parti yang hari ini diperkukuhkan menerusi gagasan pembangkang.

“Sesiapa pun tidak pernah terfikir dua parti terbesar Melayu Islam, UMNO dan Pas dapat berkongsi pentas dan saya sendiri pun tidak terfikir akan membonceng motosikal yang dipandu oleh rakan-rakan daripada Pemuda Pas selain  menjayakan program yang diatur bersama.

“Semua ini sebenarnya meggusarkan dan menakutkan serta meresahkan Pakatan Harapan. Kalau tidak resah takkan mereka serang Pas dengan pelbagai fitnah sebagaimana mereka menyerang kepada BN dahulu,” katanya.

Selain Dr Asyraf, Pentas Anak Muda turut menampilkan Ketua Dewan Pemuda Pas, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pemuda Parti IKATAN, Shahir Adnan, Ketua Pemuda Parti Berjasa, Iqbal Hakim Abd Razak, Naib Ketua Dewan Pemuda Pas IR. Hj. Khairil nizam bin khirudin, serta Shahril Sufian Hamdan yang merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO.

Asyraf seterusnya berkata PH sebenarnya tahu dan sedar mereka tidak boleh menunaikan janji-janji pilihan raya yang ditawarkan sebelum PRU sebelum ini.

“Mana mungkin boleh ditunaikan… nak hapuskan itu dan hapuskan ini . Hapus ‘Goods and Services Tax’ (GST) tukar kepada ‘Sales and Services Tax’ (SST) dengan tanggapan harga barang turun namun sebaliknya berlaku hari ini.

“Harga barang turun ke tuan-tuan…bukan sahaja tidak turun bahkan naik dan bukan sahaja naik malah perolehan negara berkurangan kepada RM40 bilion. Nak tampung dengan SST tidak cukup akhirnya buat apa…jual aset itu dan jual aset ini dan aset-aset ini merupakan aset strategik,” tambahnya.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menempelak sikap pemimpin kerajaan yang sebelum ini cukup lantang nada masing-masing mengkritik pelbagai pelaksanaan oleh kerajaan BN sebagai zalim dan sebagainya namun berubah nada setelah mereka menjadi kerajaan.

“Ketika BN memerintah dahulu dijaja dan ditohmah dengan pelbagai ungkapan sepertimana pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dianggap menzalimi rakyat dan sebagainya. AES apa kata mereka dahulu… merekalah yang buat bising di Parlimen dan berceramah di atas pentas  mengatakan AES perlu dimansuhkan kerana rakyat  sengsara…. rakyat dibebankan dan terpaksa bayar denda AES. Itu kononnya bukan cara untuk mendisplinkan rakyat.

“Tetapi apabila menjadi menteri… berubah 360 darjah bukan sahaja pertahankan tetapi tambah lagi kamera. Datang pula alasan AES ini menepati maqasid syariah,” sinisnya.

Asyraf seterusnya menggesa agar rakyat tidak berdiam diri dan kepada pengundi di DUN Semenyih mereka perlu menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin kerana mereka mewakili seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya diri mereka semata-mata.

“Kepada golongan muda pula… jumpa pemimpin PH ucapkan terima kasih dan ‘berikan gula-gula hacks’ sebanyak dua biji. Katakan kepada mereka (pemimpin PH) ini adalah hasil daripada perjuangan mereka. Kami mengucapkan terima kasih kerana memperkenalkan semula BR1M atas nama BSH dan ini hasilnya. Gula-gula hacks dua biji. Kalau ikut cara mereka punya pengiraan dahulu, pemberian RM100 itu, satu hari 27 sen dan akan dapat gula-gula hacks dua biji,’ tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Muhamad Khalil Abdul Hadi dalam ucapannya pula melihat sesuatu yang cukup pelik apabila beberapa pimpinan PH menyerang parti dan pimpinan parti terbabit.

“Seolah-olah Pas pula yang bertanding di Semenyih sedangkan yang bertanding di Semenyih adalah rakan kita daripada BN. Mereka kata Pas tidak tolong untuk bantu BN dalam PRK ini. Kami Pemuda Pas sejak daripada awal malah sejak sebelum penamaan calon, Dr Asyraf menghubungi saya dan Pemuda Pas memberikan komitmen sepenuhnya sebagaimana PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Kami berkampung di sana dan begitulah juga kami berkampung pada PRK DUN Semenyih ini untuk membantu memenangkan calon BN, Zakaria Hanafi di DUN Semenyih ini.

“Serangan pimpinan PH terhadap Pas kerana mereka takut dan bimbang muafakat pembangkang antara Pas dan UMNO ini. Mereka takut dan bimbang perpaduan ummah yang berlaku ini. Malam ini satu sejarah yang telah kita mulakan sebelum daripada ini,” katanya.

Ujarya lagi Pas dan UMNO musuh politik sejak sekian lama namun pada malam ini kedua-dua parti berkenaan boleh bersama dan jika dicari titik-titik permusuhan sampai bila-bila pun akan bermusuh.

“Kita mencari titik persamaan. Inilah dia muafakat pembangkang yang sangat ditakuti dan digeruni oleh PH yang mesti kita sama-sama jaga dan pelihara.

“Saya telah sebut dan nyatakan pada malam ini sekali lagi, insya Allah dalam PRK dan sehinggalah PRU yang akan datang tidak akan berlaku lagi tiga penjuru. Yang akan berlaku dua penjuru. Inilah kekuatan yang sangat ditakuti oleh PH,” tegasnya.

Tambahnya lagi mereka cuba merenggangkan muafakat pembangkang yang berlaku ini sedangkan mereka (PH) retak menunggu pecah dengan masing-masing parti di dalam pakatan berkenaan mempunyai hala tuju yang tersendiri. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.