Skil Berkomunikasi Penting, Tapi Jangan Terlalu Teruja…


SEMENYIH, 23 Feb – “Komunikasi ini periuk nasi orang politik, kalau tidak pandai berkomunikasi, tidak perlulah jadi calon,” bidas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di PDM Rinching malam tadi.

“Calon PH di Semenyih ini saya nak cakap pun….mmm…. saya rasa ketua cawangan kita lebih petah bercakap. Tan Sri Muhyiddin cakap komunikasi calon PH tak berapa baik.. Teruk sangat ke PH ni sampai tiada calon.

“Lepas tu dia (calon PH) cakap kalau menang pada 2hb… dia sebut masalah jalan, jalan sempit, sampah tak kutip, jalan berlubang, 3hb selesai semua masalah… kena kencing lagi..

“Dia nak tipu siapa.. saya jadi wakil rakyat 42 tahun, masalah rakyat takkan berkesudahan. Takkanlah malam ini menang 3hb selesai. Takkan tuan-tuan nak bagi orang tipu,” katanya.

Selain itu Najib turut melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan untuk menang di PRK Semenyih ini berdasarkan kepada sambutan yang diterima ‘Bossku’ berbanding ceramah PH.

“Saya tengok dalam fb (facebook) ceramah Menteri Besar Selangor dan Azmin Ali, saya tengok banyak kerusi kosong. Bila kerusi kosong banyak dari orang alamatnya apa? Alamatnya calon PH kena mandi sebab hancing,” sindir beliau.

Dalam siri kempennya kali ini, Najib turut memperjelaskan makna sebenar slogan ‘Bossku’ yang diketengahkan beliau kini.

Di hadapan lebih seribu pengundi yang hadir beliau berkata, perkataan ‘Bossku’ baginya adalah rakyat di negara ini yang merupakan majikan baginya.

“Saya nak bagitau ‘Bossku’ apa maknanya. Bossku ni di Sabah maknanya kawanku.

“Bila kata ‘bossku’ pada saya, saya ingatkan diri saya, bos adalah rakyat. Bila kata ‘bossku’ bukan bererti ‘bos’ sebenar. Rakyat jadi ‘bos’ kita (pemimpin),” jelasnya. – MediaUMNO