Pasca PRU14: Rakyat Semakin Sedar BN Lebih Baik Daripada PH – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan terdapat dua hikmah yang besar di sebalik kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Pertama, menurutnya, rakyat boleh menilai kerajaan mana yang lebih baik, era kerajaan Barisan Nasional (BN) atau kerajaan regim Pakatan Harapan (PH).

“Dulu kita kata kita baik, tetapi baik banding dengan mana… tak pernah kalah (peringkat persekutuan). Sekarang ini setelah sembilan bulan ini, orang pun dah tahu (PH gagal tunai manifesto, tiada dasar jaga kebajikan dan kepentingan rakyat), tentu dalam fikiran dah merumus lebih baik era zaman Barisan Nasional.

“Yang kedua, setelah kita bergaduh sesama Melayu, sesama Islam berpuluh-puluh tahun, tak pergi kenduri, bercerai anak bini, sembahyang dua imam, macam-macam kisah antara Pas dan UMNO, akhirnya kita dapat bersatu, tapi bila kita bersatu mereka (segelintir pihak) kata kita rasis pula,” ujarnya lagi.

Ahmad berkata demikian dalam Diskusi N.24 Semenyih yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO-Online malam tadi, dengan topik perbincangan ‘Kos Sara Hidup PH Gagal’, yang dihoskan oleh Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid.

Berhubung dengan tuduhan kerjasama itu sebagai berunsurkan rasis, Ahmad yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat Maslan membidas lemparan tersebut kerana ianya semata-mata mahu menafikan gerakan permuafakatan UMNO dan Pas.

“Mereka mahu menafikan gerakan kita, apabila kita kata Melayu Islam itu baik, Mereka kata itu adalah satu perjuangan rasis.

“Banyak kali dalam penamaan calon ada dua tiga orang pemberita bertanya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan tentang hal ini, tentang rasis apabila ada perpaduan. Ada punya pelik pemikiran.

“Itu pemikiran Dap lah tu, parti sosialis… Pemikiran yang semacam ini pemikiran yang rosak. Jauhi pemikiran rosak ini,” tegasnya.

Bidas Ahli Parlimen Pontian itu lagi, pemikiran rosak sebegitu sama seperti pemikiran yang mengatakan kalau gaji meningkat kos sara hidup turut naik seolah-olah tidak mahu rakyat mempunyai pendapatan tinggi.

“Pegangan pimpinan utama kerajaan Pakatan Harapan berkata kalau gaji meningkat harga barang akan naik dan kos sara hidup akan tinggi. Ini minta maaf cakaplah, saya rasa itu pandangan yang silap, kalau begitu sampai bila gaji rakyat Malaysia hendak meningkat.

“Selagi mereka memerintah kalau itu menjadi pegangan utama pimpinan Pakatan Harapan tersebut punca kos sara hidup meningkat ialah gaji yang tinggi, maka rakyat Malaysia tidak akan bergaji tinggi la jawabnya.

“Ini satu perkara yang menjadi bahana kepada rakyat Malaysia,” tambahnya.

Berhubung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih, Ahmad mengharapkan BN yang diwakili calonnya, Zakaria Hanafi, 58, memperolehi kemenangan dan seterusnya menjadi pembangkang yang kuat di DUN Selangor.

“Satu undi yang diberikan oleh anak muda dan pengundi di Semenyih kepada Barisan Nasional, ia akan menambah suara Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri dan juga di kawasan itu untuk memastikan akhirnya kita akan dapat apa yang kita hasratkan.

“Desakan-desakan yang tidak henti ini akan menyebabkan mereka menukar (keputusan). Desakan, suara rakyat suara keramat, saya pulangkan balik ungkapan mereka ‘rakyat hakim negara’, untuk kita memastikan menjadi ‘turning point’ apa juga dasar-dasar mereka yang selalu ‘U-Turn’ dalam negara ini untuk manfaat rakyat.

“Pembangkang yang kuat akan memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.