Tun M Hilang Formula Ajaib… Yang Timbul Kerajaan Kakistokrasi – Khaled Nordin


KUALA LUMPUR, 22 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini kehilangan formula ajaibnya dalam mentadbir serta menguruskan negara.

Jelasnya, ini tidak sebagaimana yang diharapkan sebahagian besar rakyat yang menjadikan Dr. Mahathir sebagai harapan apabila memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Sebahagian besar rakyat apabila mereka memberi sokongan kepada Pakatan Harapan menjadi kerajaan mereka melihat kepada tokoh seperti Dr. Mahathir. Apa yang nak saya utarakan adalah bahawa Dr. Mahathir tidak lagi mempunyai formula ajaib melihat kepada keadaan selepas sembilan bulan Pakatan Harapan ini menjadi kerajaan.

“Saya mengatakan begitu kerana satunya, semua harapan dan impian yang telah mereka tanamkan kepada rakyat nampaknya semua tidak jadi. Mereka kata Malaysia akan berubah dengan keadaan yang lebih baik, hidup rakyat akan menjadi lebih baik, harga barang akan semua turun, harga minyak akan stabil, ringgit akan kukuh tetapi semua itu tidak jadi.

“Jadi, mana formula kononnya kalau pilih parti yang diterajui oleh Dr. Mahathir keadaan kita akan menjadi lebih baik. Maknanya meletakkan satu harapan dan rakyat ditanam harapan. Jadi rakyat mengharapkan tetapi sekarang rakyat tahu perkara itu tidak berlaku, hidup makin susah, barang makin naik, yang miskin terus miskin dan jurang makin besar,” katanya dalam Diskusi N.24 Semenyih dengan tajuk perbincangan ‘Kerajaan Kakistokrasi, Harapan Tinggal Harapan’ di sini, malam tadi.

Diskusi tersebut yang dihoskan oleh Adnan Seman disiarkan secara langsung di laman Facebook UMNO Online.

Yang kedua tambahnya adalah mengenai janji-janji manifesto dalam PRU yang tidak ditunaikan.

Begitu juga katanya mengenai dakwaan Dr. Mahathir yang mengatakan UMNO sudah tiada lagi tempat di dalam arena politik tanah air.

“Yang ketiga, dia kata UMNO mati, UMNO sudah tiada, tetapi UMNO menang di Cameron Highlands (Pilihan Raya Kecil), dan hari ini kita akan beri tentangan yang sangat kuat (Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih).

“Dia mencuri, dia ambil secara tidak bermoral menggalakkan ahli-ahli politik melompat parti dan sebagainya tetapi akar umbi masih lagi tidak berubah dan tidak berganjak,” tegasnya.

Ujar Khaled, ini ditambah pula dengan kelemahannya memandu arah jemaah menterinya sehinggakan kelemahan menteri kabinetnya mendapat teguran dan kritikan daripada Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dan juga penasihat medianya, Datuk Kadir Jasin.

“Jadi atas sebab itulah saya kata harapan tinggal harapan. Yang ada pada hari ini adalah kerajaan kakistokrasi dan ditambah pula dengan isu beberapa menteri dan menteri besar tidak memiliki sijil. Sebenarnya tidak memiliki sijil tetapi diletakkan memiliki sijil, ada yang sijil palsu untuk memastikan rakyat dalam keadaan yang tenteram kerana negara dan negeri dipimpin oleh orang yang berkelayakan.

“Kakistokrasi itu ialah satu keadaan kepimpinan yang diterajui oleh orang yang paling kurang kelayakannya dalam satu-satu situasi. Inilah yang sedang kita hadapi pada hari ini,” bidasnya lagi.

Bekas Menteri Besar Johor itu turut menambah, semasa mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu pemimpin PH sering menimbulkan persepsi kepada rakyat bahawa BN tiada integriti tetapi apabila telah menjadi kerajaan mereka yang sebenarnya tiada integriti dari segi kebenaran.

“Sebagai rakyat kita akan berasa tenteram jika negara diterajui oleh orang yang berkelayakan. Negara berhadapan dengan banyak cabaran yang bukan mudah untuk diatasi dan sangat kompleks.

“Kita perlu mereka yang pakar, berkemampuan, berkeupayaan dan berilmu pengetahuan supaya kita tahu bila dia ada semua itu dia dapat atasi semua cabaran tersebut dan kita tahu salah satu faktor yang membantu adalah dari segi kelayakan dan ilmu yang dikuasai.

“Tapi jika tiada semua itu bagaimana perasaan rakyat? Kita diterajui dan dipimpin oleh orang yang bukan pakar dalam bidang itu. Adakah setiap tindakannya itu akan memenuhi keperluan dan kehendak kita? Ini isunya. Adakah kita rasa terjamin?,” soalnya lagi. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.