TRX Mangsa Fitnah PH… Dari ‘Lubang Besar’ Tiba-tiba Bertukar Jadi Aset Paling Bernilai – Najib


BANDAR BARU BANGI, 22 Feb – Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, perkara yang amat dikesali oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib adalah tindakan mereka yang suka menjual aset-aset hak milik kerajaan.

Najib berkata demikian dengan memberi contoh apa yang telah terjadi terhadap aset-aset Tabung Haji (TH) melalui syarikat tujuan khas (SPV) di Tun Razak Exchange (TRX) dan juga IHH Healthcare Berhad, juga sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kedua terbesar di dunia.

“Aset Tabung Haji bila dijual, kesannya adalah Tabung Haji tidak boleh bayar hibah pada masa akan datang kadar pada zaman BN (Barisan Nasional) dahulu, mesti berkurangan, jaminan itu mesti berkurangan.

“Kenapa Tabung Haji jadi sasaran, inilah saya rasa pelik sebab Tabung Haji adalah satu institusi yang menjadi kebanggaan kita yang sepatutnya kita pertahankan bukan kita cari jalan untuk melemahkan Tabung Haji.

“Sebelum pilihan raya, dia (PH) kata kawasan TRX itu tiada apa-apa, ada ‘lubang besar’ dia kata, ‘one big hole’… saya masih ingat lagi, kami difitnah seolah kami tidak bertanggungjawab tapi lepas dia menang, dia kata pula ‘inilah aset yang ternilai dalam negara kita’,” tegas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Najib berkata demikian dalam program Sembang Santai Bossku bersama golongan mahasiswa di sebuah restoran di sini, hari ini setelah perancangan awal yang akan diadakan di Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga pada hari yang sama telah ditangguhkan tanpa sebab serta tidak diberikan tarikh baharu oleh pihak universiti.

Turut hadir ke program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UKM itu adalah kepimpinan pelajar dari institusi-institusi pengajian tinggi berhampiran.

Sebelumnya, Najib menyempurnakan solat Jumaat di Masjid UKM bersama warga mahasiswa dan masyarakat setempat.

Berkenaan dengan agensi pendeposit orang Islam terulung di negara itu juga, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut hadir mengulas bahawa TH di bawah PH menyebabkan pelbagai isu timbul contohnya cubaan mereka yang mahu memotong subsidi kepada orang yang merayu serta pengiring mahram pertama kali menunaikan haji serta SPV sebenarnya merugikan institusi tersebut dan juga umat Islam secara keseluruhannya untuk berada di dalam kelompok pemain utama di TRX.

Mengenai IHH Healthcare Berhad, Najib berkata pada peringkat awal ketika beliau menjadi perdana menteri, GLC di bawah Khazanah Nasional Berhad itu hanya memiliki Hospital Pantai dan Gleneagles sahaja dan semakin lama semakin berkembang di bawah pentadbiran BN.

“Selepas itu kita berkembang Mount Elizabeth di Singapura, 21 hospital di Turki, 14 hospital di India dan di Hong Kong. Kita muncul sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan kedua terbesar di dunia.

“Saya bayangkan pelajar-pelajar kita yang belajar dalam bidang perubatan, pentadbir hospital dan farmasi mereka akan ada peluang bekerja di seantero dunia sebab kita ada ‘flagship’ selepas Khazanah, tapi baru ni dia (PH) jual pula kepada Mitsui, saya meradang betul kenapa dijual kepada Mitsui 16 peratus.

“Jual kepada Mitsui dapat RM8 bilion, tapi RM8 bilion sebenarnya hendak tutup kelompongan (hasil) dengan pemansuhan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), sebab kalau ada GST kita hasil cukup dan kita tidak perlu jual aset kita dan kita akan jadi pelaku global yang penting,” tegasnya lagi. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.