Janji Entah Ke Mana.. Kerajaan PH ‘Tidak Mesra’ Rakyat – Khairy

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal menunaikan janjinya malah tidak melihat secara mendalam apa yang kerajaan terdahulu laksanakan walaupun ianya mendatangkan manfaat yang cukup bermakna kepada rakyat.

Menurut beliau, banyak perkara dapat dilihat seperti apa yang melanda kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta kalangan mahasiswa selain penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang hari ini bertukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Saya boleh maafkanlah kalau mereka tidak dapat menunaikan 100 peratus daripada janji mereka tetapi saya nak sentuh hari ini bukan janji tetapi apa yang BN dah bagi yang mereka telah mansuhkan… yang mereka telah kurangkan…yang mereka tidak berikan lagi kepada rakyat.

“Orang muda daripada kalangan mahasiswa mula menyesal… sekurang-kurangnya mereka dahulu mengatakan kalau berusaha dengan gigih, kalau belajar bersungguh-sungguh dan mendapat ijazah kelas pertama akan dapat tukarkan pinjaman itu sebagai biasiswa.

“Hari ini tidak ada lagi… ia hanya bersasar kepada pelajar miskin sahaja. Pelajar golongan menengah yang ramai duduk di Semenyih ini kalau dapat ijazah kelas pertama tidak dapat lagi dah… kena bayar balik penuh. Dulu kita buat polisi ini dalam usaha menggalakkan anak-anak muda belajar bersungguh-sungguh untuk dijadikan pinjaman itu sebagai biasiswa.

“Dulu kalau bayar PTPTN secara konsisten akan dapat diskaun. Kerajaan BN kata kalau bayar secara konsisten dapatlah dalam 20 peratus dan sebagainya. Hari ini tidak ada dah… tidak ada lagi diskaun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program Sembang Santai Anak Muda di Bilik Gerakan Sungai Lalang, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Semenyih Barat, di sini malam tadi.

Khairy seterusnya membangkitkan bagaimana pengurangan terhadap bantuan yang diberikan kepada golongan marhaen yang sebelum ini dilaksanakan menerusi BR1M yang hari ini bertukar kepada BSH.

“Dulu ini dianggap dedak. Hari ini apabila diberikan nama baru Bantuan Sara Hidup ianya sudah jadi suci dan bukan lagi dedak. Dulu kalau pendapatan RM2,000 ke bawah dapat RM1,200 di bawah kerajaan BN. Hari ini dipotong menjadi RM1,000. Kalau dulu pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 kerajaan BN beri RM1,200 namun hari ini diberikan RM750. Jika pendapatan RM3,000 hingga RM4,000 kita beri RM900 hari ini diberikan RM500.

“Bujang pula dulu dapat RM450 tetapi di bawah kerajaan PH tidak dapat apa pun, tetapi terkini diumumkan akan dapat RM100. Dulu dalam keadaan macammana pun kerajaan BN beri RM450 tidak termasuk kita berikan baucer buku kepada mahasiswa, kad diskaun mahasiswa. Ini semua tidak ada lagi dah. Kerajaan apa ini?

“Jika ditakdirkan BN menang sebelum ini, Datuk Seri Najib dah janji… kalau BN menang penerima BR1M RM1,200 akan menerima RM1,500. Ini adalah sejauh mana prihatin kerajaan BN kepada rakyat,” tegasnya.

Tegas beliau lagi penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikotakan janjinya oleh kerajaan PH tidak membantu menurunkan harga barang sepertimana yang mereka war-warkan.

“Apa lagi anak muda menyesal… ini bukan sahaja anak muda tetapi bukan anak muda pun turut menyesal. Mereka janji apa… ini janji mereka tunaikan. Menang dihapuskan GST tetapi hujah mereka kalau dimansuhkan GST maka barang akan turun.

“Apakah harga barang-barang dapur yang kita beli di bawah PH lebih murah… tidak. Ini satu lagi pembohongan besar. Kalau mereka sebelum ini sering mengatakan BN – Barang Naik, PH pula dalam bahasa inggeris Price High, harga naik juga,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

**********

Jom ikuti aktiviti-aktiviti calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi di www.facebook.com/ZH4N24 dan www.instagram.com/zakariahanafi_n24/

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.