Beri Identiti Baharu Lambang Pekan Bandar Diraja – Al-Sultan Abdullah

PEKAN, 22 Feb – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini, menitahkan agar daerah Pekan diberikan identiti baharu bagi melambangkannya terkenal sebagai bandar diraja.

Sultan Abdullah menambah bagi melaksanakan tanggungjawab itu, baginda berkenan menubuhkan sebuah jawatankuasa tadbir urus tanah kesultanan daerah Pekan yang akan memberi idea dalam melaksanakan penjenamaan semula yang melibatkan kampung tradisi di sini.

Jawatankuasa itu akan terdiri daripada ketua jabatan di peringkat daerah termasuk Pejabat Tanah dan Daerah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Pejabat Agama Islam Pekan, Polis Diraja Malaysia dan individu persendirian.

“Jawatankuasa ini berperanan bagi membincangkan kemajuan dan pembangunan tanah kesultanan, melaksanakan operasi pembersihan persekitaran dan melaksanakan operasi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kawasan tanah kesultanan.

“Jawatankuasa ini akan memberikan idea dan pandangan kepada saya dalam melaksanakan penjenamaan semula terhadap kampung tradisi selari dengan perkembangan semasa dekad ini.

“Semoga pembaharuan ini dapat diterima ramai dan memberi manfaat kepada rakyat jelata,” titah baginda semasa berucap semasa berkenan mencemar duli ke Majlis Bersama Penduduk Tanah Kesultanan Daerah Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan disertai kira-kira 1,000 penduduk tanah kesultanan daerah ini.

Sultan Abdullah seterusnya bertitah supaya penduduk tanah kesultanan daerah Pekan melaksanakan tanggungjawab menjelaskan bayaran cukai tanah pada harga serendah RM2 setahun, yang kini difahamkan telah tertunggak sebanyak RM272,644.03.

Mengenai penduduk tanah kesultanan itu, Sultan Abdullah bertitah sehingga kini, 5,271 orang mendiami tanah seluas kira-kira 919 hektar yang meliputi kampung tradisi seperti Kampung Mengkasar, Kampung Pekan Lama, Kampung Permatang Pauh, Kampung Polo dan Kampung Padang Buluh.

Titah baginda, tanah kesultanan di Pekan diwujudkan seawal tahun 1919 di bawah pemerintahan Al-Marhum Paduka Moyang baginda, Sultan Abdullah Al-Musta’sim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah melalui Enakmen Tanah Kesultanan 1919.

Sultan Abdullah seterusnya bertitah mengingatkan penduduk setempat untuk bersama menjaga kebersihan dan keindahan, dengan menggariskan tiga inisiatif utama iaitu pendidikan awal dari rumah, orang dewasa sebagai contoh dan kepekaan masyarakat.

“Saya juga menyarankan agar gotong-royong diadakan secara berkala secara rutin tanpa perlu menanti surat arahan dikeluarkan atau ketika musim tertentu bagi mengindahkan kawasan kediaman tanah kesultanan ini,” titah baginda.

Sultan Abdullah menambah masyarakat juga perlu sepakat dalam membanteras gejala dadah dan membunuh kebelakangan ini, yang cukup dibimbangi baginda, dan menasihatkan anggota keluarga untuk mengambil tahu jika perkara itu berlaku dalam kalangam mereka.

“… adalah diingatkan bahawa kebenaran untuk menduduki tanah kesultanan ini boleh ditarik balik sekiranya terdapat salah laku seperti ini,” titah baginda.

Pada majlis itu, Sultan Abdullah juga menzahirkan rasa gembira kerana dapat melepas rindu bertemu rakyat Pahang selepas 22 hari berada di Kuala Lumpur selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Jan lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.