Kerjasama UMNO-PAS Jadi ‘Fear Factor’ Dap Dan Sekutunya – Dr. Fathul Bari


KUALA LUMPUR, 20 Feb – Permuafakatan yang terjalin antara UMNO dan PAS bukan sahaja perkara yang melibatkan agenda mempertahankan agama Islam malahan melangkaui kepada hal ehwal yang berkaitan kenegaraan dan kepentingan rakyat, ujar Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.

Berkata di dalam Diskusi N.24 Semenyih yang membicarakan topik ‘Demi Ummah, Kita Muafakat’ Dr. Fathul Bari menjelaskan perkembangan terkini politik di tanah air memberi kesan yang amat positif kepada rakyat.

“Perkembangan terkini politik tanah air khususnya permuafakatan antara dua parti Melayu yang terbesar iaitu UMNO dan PAS, saya melihat ia memberikan satu kesan yang sangat positif kepada seluruh umat Melayu Islam dalam negara dan tentunya juga ia memberikan suasana ‘fear factor’ kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang khususnya Dap.
“Realiti yang berlaku pada hari ini bersesuaian dengan apa yang kita canangkan, semua orang Islam bercakap soal perpaduan, bukan baru hari ini, bukan selepas pilihan raya (umum) baru ini bahkan puluhan tahun kita cakap perkara yang sama, kita membacakan ayat Al-Quran yang sama, ‘Berpegang teguhlah kamu kepada jalan Allah dan jangan kamu berpecah-belah’, itu prinsipnya.

“Persamaan yang paling besar, yang melangkaui apa jua kepentingan adalah soal agama kita. Ini persepakatan yang bertitik tolak pada perkara-perkara agama yang perlu bahkan wajib kita sepakati… jadi itu titik permulaan kita, isu-isu yang berkaitan agama Islam, bermula bersama mempertahankan, memperjuangkan dan kita berada atas satu kesepakatan,” jelasnya.

Begitu juga tambahnya apabila membicarakan soal perlembagaan kedua-dua parti tersebut.

“PAS bercakap soal Islam, tetapi PAS dalam perlembagaannya juga bercakap soal perlembagaan negara, mempertahankan raja-raja sama seperti UMNO. Maka, kita sebenarnya ada kesepakatan selain isu Islam, kita juga ada kesepakatan soal prinsip-prinsip kenegaraan, perlembagaan, kepentingan hak-hak Bumiputera dan kaum-kaum lain yang kita sepakat kita kena jaga.

“PAS pun ada cabangnya daripada kalangan ‘non-muslim’ yang mana mereka juga berusaha memberi hak kepada ‘non-muslim’. Demikian juga kita, memperjuangkan hak-hak Bumiputera dan juga ada rakan sekerja dari kalangan MIC dan MCA.

“Ini prinsip-prinsip bernegara yang ada titik temu. Jadi jangan kita ‘rigid’ fokus kepada isu-isu tertentu sehingga kita lupa yang kita hidup dalam satu negara yang ‘multi racial’, di samping mementingkan isu yang tertinggi iaitu agama,” katanya lagi.

Selain itu ujarnya, isu-isu melingkari kepimpinan kerajaan PH yang didominasi Dap juga menjadi ‘fear factor’ kepada rakyat turut menjadikan UMNO dan PAS bekerjasama dalam membawa suara rakyat.

“’Fear’ itu bukan datang dari UMNO dan PAS, ‘fear’ itu datang dari rakyat di bawah. Mereka yang melihat bahkan diakui sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawasanya yang dominan dalam kerajaan sekarang, pentadbiran kerajaan sekarang adalah DAP.

“Kemudian isu-isu yang keluar soal liberal, baru-baru ini di Pulau Pinang, keluar satu teater dengan tajuk ‘Sex In Georgetown’ walaupun bukan filem lucah atau porno seperti dinyatakan oleh pengarah teater tersebut, tetapi tajuknya bukan tajuk biasa bagi orang kita. Ini soal sensitiviti masyarakat yang ‘fear’ datang dari bawah.

“Adakah kami, parti politik tidak boleh bercakap dan menyuarakan ketidaksetujuan kami kepada realiti yang berlaku? Tidak boleh. Kami memperjuangkan isu rakyat. Jangan tuding jari kepada UMNO Pas, sila salahkan diri sendiri yang tidak jaga sensitiviti, soal liberal, pendukung liberal dibiarkan bercakap. Semua ini orang melihat dan menilai,” tegasnya lagi.

Dr. Fathul Bari turut memberikan contoh isu yang amat menyentuh sensitiviti hati majoriti rakyat di negara ini iaitu isu komitmen kerajaan PH yang mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Baru pegang kerajaan, kerajaan terus menyentuh isu ICERD, isu yang sangat dekat dengan hati rakyat dan sensitiviti umat Islam. Kemudian kalian berkata kami bersalah, UMNO dan Pas bersalah. ‘Come on’… jadi ini satu perkara yang tidak masuk akal. Bukan isu ICERD sahaja, banyak lagi…

“Mereka membicarakan soal ‘anti-corruption’ dalam Malaysia Baharu tetapi kalau lihat pada hari ini, kes-kes yang dikaitkan dengan pemimpin di sebelah sana, dilihat digugurkan sebegitu sahaja, di mana ‘rule of law’?” bidasnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Dr Fathul Bari berkeyakinan tinggi Barisan Nasional (BN) mampu memberi tentangan yang hebat kepada PH di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, dalam jawapannya ketika ditanya oleh moderator Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid mengenai perkara tersebut.

“Saya begitu yakin kerjasama UMNO-PAS di PRK Semenyih mampu memberi tentangan hebat kepada PH kerana bagi saya pentingnya seorang calon yang boleh menang ialah disukai rakyat. Ini bukan soal kepentingan parti semata-mata tetapi soal perubahan yang rakyat mahu lihat.

“Tetapi dalam masa yang sama ‘fear factor’ yang menyeliputi rakyat pada hari ini dengan perubahan dasar kerajaan yang tidak jelas, dasar ekonomi yang tidak jelas, isu-isu agama yang begitu menyentuh sensitiviti umat Islam, pendirian menteri kabinet yang ‘flip flop’ dan sebagainya, mereka akan terjemahkan pada PRK ini. Dah berlaku pada Cameron Highlands… dan di Semenyih saya melihat ada kebangkitan,” yakinnya lagi. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.