Naikkan BR1M Lebih Baik Berbanding Subsidi Petrol Bersasar – Najib

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membuat kajian mengenai sistem subsidi petrol bersasar dan mendapati kos dan masalah yang akan berlaku lebih tinggi berbanding faedah yang dinikmati rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, kos untuk membayar syarikat konsesi yang akan dipilih untuk melaksanakan, mengawal dan menyelenggara sistem subsidi tersebut juga tidak murah.

“Ada 3,500 stesen minyak di Malaysia. Jika setiap stesen ada 10 pam, maka 35,000 pam perlu diubahkan dan dikawal.

“Banyak juga masalah yang akan dihadapi. Ada kemungkinan sistem rosak pada mana-mana hari dan yang memerlukan tak dapat subsidi minyak. Ada juga kemungkinan berlakunya ketirisan dan penipuan melalui penjualan kad subsidi,” kata Najib.

Najib mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalan bahawa kementerian kini dalam fasa terakhir untuk melaksanakan subsidi petrol secara bersasar.

Menurut Saifuddin Nasution, Kementerian Kewangan ketika ini dalam proses memilih vendor yang sesuai untuk mengendalikan sistem yang digunakan.

Najib mendakwa, sistem tersebut tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat yang memiliki kereta dan motosikal.

“Yang seronok hanya kroni PH yang akan dapat projek subsidi ini. Oleh itu, rumusan kita pada masa itu ialah lebih baik untuk menaikan BR1M supaya rakyat boleh pilih di mana mereka mahu belanjakan duit ini,” kata Najib.

Subsidi petrol secara bersasar dijangka akan dilaksanakan pada bulan April. KPDNHEP selaku kementerian yang menerajui program pelaksanaan subsidi bersasar akan memastikan senarai mereka yang layak menerima subsidi bersasar adalah mengikut garis pendapatan isi rumah.

Dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan akan memperuntukkan subsidi petrol kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

Guan Eng dipetik berkata, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter untuk motosikal.- UTUSAN ONLINE