Kelayakan Akademik Meragukan… Dah Jadi Perkara Biasa Bagi Pemimpin PH

SEMENYIH, 19 Feb – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berpandangan seolah-olah menjadi satu kebiasaan sejak akhir-akhir ini berhubung kelulusan akademik yang bukan sahaja meragukan malah sehingga ke tahap menipu dalam usaha meraih sokongan rakyat.

Bercakap kepada UMNO-Online selepas majlis bersama jentera setempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Beranang, Cawangan Bukit Kepong, beliau berkata calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih juga nampaknya tidak terlepas daripada kontroversi berkenaan.

“Saya  ingat  sudah menjadi satu yang biasa bagi pemimpin termasuklah bakal wakil rakyat (kalau mereka menang). Ini menunjukkan bahawa untuk mendapat pengaruh mereka menipu kelulusan. Saya fikir ini juga cara yang dibuat oleh beberapa pemimpin mereka yang lain yang sebenarnya juga memaparkan kelulusan masing-masing dalam ‘brochure’ dan sebagainya.

“Rakyat kena lihat dan menilai ini adalah perkara yang sangat tidak baik dan sudah tentu pemimpin yang sebegini rupa perlu ditolak kerana jelas cuba menipu. Seorang pemimpin mestilah mempunyai ciri-ciri amanah yang cukup tinggi.

“Kepada pengundi di DUN Semenyih ini, kita perlu tolak calon Pakatan Harapan (PH) kerana ternyata pada peringkat awal lagi tidak berkata benar. Takkanlah dari awal tidak tahu. Jadi saya fikir mereka cuba menipu rakyat namun apabila terdedah keadaan sebenar maka telah menarik balik dan membuat kenyataan,” katanya.

Memetik laporan, Muhammad Aiman Zainali, menjadi individu terbaru dalam PH yang terpaksa menjelaskan latar belakang akademiknya.

Calon PRK Semenyih berusia 30 tahun itu menjelaskan beliau memang belum menamatkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dan tidak pernah mendakwa sebaliknya.

Menurut laporan The Star Online, ada beberapa percanggahan berkenaan maklumat pelajaran di profilnya dalam laman rangkaian profesional, LinkedIn.

Begitu juga laporan terdapat risalah kempen yang memaklumkan Aiman, menantu kepada bekas ADUN Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, sedang menuntut di peringkat PhD dalam kejuruteraan elektrik, manakala profil LinkedIn menyatakan beliau menamatkan pelajaran peringkat itu pada 2016.

Shamsul seterusnya menegaskan untuk menjadi pemimpin seseorang itu perlulah ada integriti dan kejujuran.

“Mana-mana pemimpin perlu mempunyai integriti, bertanggugjawab dan amanah. Ini adalah perkara penting sebab apa… untuk menjadi pemimpin perlu ada nilai-nilai ini… integriti… amanah… tidak bohong dan sebagainya. Keadaan ini jauh berbeza dengan calon BN,” tegasnya.

Sementara itu dalam ucapannya beliau turut melihat kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang hanya ‘bersalin kulit’ semata-mata setelah ketiadaan program mahupun dasar baru untuk rakyat.

“Kita boleh tengok… apa dasar baru yang dibuat oleh mereka. Yang ada hanya salin kulit. Begitu juga dengan sikap ‘flip flop’ mereka yang akhirnya menyusahkan rakyat. Jadi gunalah peluang yang ada pada PRK ini untuk menunjukkan mesej kita terhadap kerajaan bahawa cukup-cukuplah,” tambahnya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.