Janji PH Sudah Tiada Nilai, Ambil Kesempatan ‘Menipu’ Rakyat


KUALA LUMPUR, 18 Feb – Pakatan Harapan (PH) sebenarnya tahu, jauh di sudut hati mereka, manifesto yang dilemparkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu sukar dilaksanakan, namun mereka mengambil kesempatan dengan ‘menipu’ rakyat untuk meraih undi, kata Jabatan Komunikasi Strategik (JKS), Penerangan UMNO Malaysia.

Katanya, rakyat perlu peka isu tipu menipu ini kerana ianya ada kaitan dengan soal integriti.

“Selalu kita sebut nak tegakkan integriti. Orang ingat integriti ini soal rasuah saja. Bagaimana moral integriti atau integriti moral?

“Apabila berjanji pada rakyat, itu moral integriti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bidasnya, tol tidak dihapuskan, hutang peneroka Felda gagal dihapuskan, janji PTPTN gagal ditunai, harga komoditi seperti minyak sawit merudum dan menghimpit peladang terbabit dan tiadanya penurunan harga minyak ketika harga dunia menurun, adalah hal yang merungsingkan rakyat.

“Golongan nelayan pula terus dihimpit keresahan dengan hilangnya elaun manakala rakyat miskin makin menghadapi kesukaran untuk hidup dengan janji kosong ‘harapan’.

“Lebih malang tiada perancangan atau hala tuju yang jelas bagaimana kerajaan ‘harapan’ mahu membantu serta menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi kebimbangan rakyat juga ialah apabila kerajaan ‘harapan’ tidak begitu serius menangani kesan kenaikan harga barang.

“Kesan langsungnya terkena kepada mereka yang berpendapatan rendah dan pekebun kecil.”

Katanya, kuasa beli mereka semakin kurang akibat pendapatan semakin terjejas.

“Kesan ketidakcekapan mentadbir ekonomi kini menghimpit kehidupan rakyat sedangkan menyelesaikan isu kos sara hidup juga adalah janji mereka.”

Sehubungan itu katanya, rakyat perlu menolak Kerajaan PH dalam semua pilihan raya kecil (PRK) kerana gagal menunaikan janji dan gemar menipu rakyat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.