Pemuda UMNO Mohon Kekalkan Dasar Lama Subsidi Tabung Haji – Dr Asyraf


KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa agar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Rawa serta pihak pengurusan Tabung Haji mempertimbangkan kembali dasar baru terhadap mereka yang membuat rayuan walaupun kali pertama menunaikan Haji mengikut Pakej Muassasah.

Menurut beliau  perkara tersebut berbeza dengan dasar lama sebelum ini yang mana  di bawah Kerajaan BN dahulu pihak Tabung Haji disarankan memberikan subsidi kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan mereka untuk mengerjakan Haji kali pertama dengan hanya membayar jumlah RM9,980 seorang (subsidi sebanyak RM12,920).

“Saya dimaklumkan mengenai dasar baru subsidi Haji yang mana bagi mereka yang merayu walaupun kali pertama menunaikan Haji mengikut Pakej Muassasah tetap dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi berjumlah RM22,900. Adalah tidak wajar dikenakan caj penuh kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan sedangkan kebanyakan mereka bukanlah dari kalangan orang yang berada.

“Berdasarkan pengalaman lama, sekitar 20-25% kekosongan setiap tahun daripada jumlah kuota yang ditetapkan lantaran kematian, keuzuran dan pelbagai faktor lain yang menyebabkan jemaah yang sepatutnya dijadualkan mengerjakan Haji pada tahun tersebut menarik diri. Kekosongan inilah yang biasanya diisi oleh mereka yang merayu,” katanya menerusi catatan di facebook, di sini, hari ini.

Tambahnya jika mengikut dasar lama Tabung Haji, keutamaan pertimbangan rayuan akan diberikan kepada mereka yang perlukan mahram, mengiringi ibu atau bapa yang uzur dan mereka yang mencecah umur melebihi 60-70 tahun.

Justeru tegas beliau adalah tidak wajar dan munasabah jika Menteri dan pihak Pengurusan baru Tabung Haji mengenakan caj penuh kepada mereka yang hakikatnya kali pertama menunaikan haji dan rata-rata bukanlah dari kalangan orang yang senang dan mewah.

“Pemuda UMNO menggesa agar YB Menteri dan pihak Pengurusan Tabung Haji untuk mempertimbangkan kembali dasar baru ini kerana hakikatnya begitu membebankan dan menyusahkan rakyat yang ingin menunaikan kewajiban rukun Islam ke-5,” ujarnya. -MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.