Adakah Jabatan Peguam Negara Sudah Bertukar Menjadi Salah Satu Jabatan Pakatan Harapan?

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Seorang Pengamal Undang-undang, Adnan Seman menyifatkan Pejabat Peguam Negara sekali lagi dipersoalkan ‘kebebasannya’ oleh rakyat  setelah surat dalaman pejabat berkenaan tular di media sosial berhubung peringatan supaya kes-kes rasuah ke atas individu-individu tertentu hendaklah segera dijalankan.

“Selepas isu pembebasan kes tuduhan rasuah membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng oleh Mahkamah atas keputusan menarik balik kes yang dibuat oleh pejabat Peguam Negara yang mengakibatkan kebebasan pejabat Peguam Negara dipersoalkan rakyat, kini sekali lagi pejabat Peguam Negara mula dipersoalkan ‘kebebasannya’ oleh rakyat apabila melalui surat yang tersebar secara jelas menunjukkan Jabatan Peguam Negara seolah-olah menerima dan mengikut arahan Kerajaan.

“Tular di media sosial satu surat dalaman yang merupakan arahan yang dikeluarkan kepada semua Timbalan Pendakwa Raya oleh pejabat Peguam Negara memaklumkan peringatan yang diberikan oleh Perdana Menteri supaya kes-kes rasuah ke atas individu-individu tertentu hendaklah segera dijalankan.

“Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Peguam Cara Negara III turut menyatakan dengan peringatan tersebut, Peguam Negara telah mengarahkan supaya pendengaran kes-kes SRC, 1MDB dan lain-lain berkaitan ”Kerajaan Kleptokrasi” dijalankan mengikut tarikh perbicaraan yang ditetapkan. Maknanya surat tersebut turut mengandungi arahan Peguam Negara,” katanya menerusi catatan di facebook beliau.

Selain itu tegas Adnan penggunaan perkataan propaganda politik seperti “Kerajaan Kleptokrasi” di dalam surat tersebut adalah sesuatu yang amat tidak wajar, menjatuhkan imej bebas dan integriti Jabatan Peguam Negara kerana perkataan tersebut kerap digunakan sebagai serangan politik oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir  terhadap kerajaan BN terutamanya semasa kempen PRU14 yang lalu.

“Kini timbul persoalan… Adakah Jabatan Peguam Negara sudah bertukar menjadi salah satu jabatan di bawah parti Pakatan Harapan apabila tanpa segan silu menggunakan perkataan “Kerajaan Kleptokrasi” sama seperti yang digunakan oleh Pakatan Harapan di dalam kempen dan propaganda politik terhadap kerajaan BN pada pru14? 

“Jika sekarang kerajaan PH mula digelar “Kerajaan Klentongkrasi” atau “Kerajaan Kakistokrasi” atau Kerajaan ‘U-Turn’ dan lain-lain oleh sesetengah pihak adakah suatu hari nanti Jabatan Peguam Negara akan menggunakan perkataan-perkataan propaganda politik sebegitu di dalam emel atau surat pejabat Peguam Negara,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau turut berpendapat kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal berhubung perkara berkenaan sewajarnya turut ditujukan kepada  Peguam Negara.

“Walaupun saya bersetuju dengan pendapat Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Ram Karpal yang berpendapat Datuk Mohamad Hanafiah jahil terhadap fakta bahawa Jabatan Peguam Negara  hendaklah sentiasa bebas daripada arahan Kerajaan selain berpendapat kesalahan yang dibuatnya itu serius dan beliau harus meletakan jawatan kalau tidak disingkirkan,  kenyataan itu juga harus juga ditujukan kepada Peguam Negara sendiri kerana surat tersebut turut menyatakan arahan dari Peguam Negara.

“Berkenaan kenyataan balas Datuk Mohamad Hanafiah terhadap kritikan ke atas kandungan surat tersebut bahawa arahan yang diberikan selari dengan seksyen 172B (4) Kanun Tatacara Jenayah yang mengkehendaki mana-mana perbicaraan mesti dimulakan tidak lewat dari 90 hari setelah tertuduh dituduh di Mahkamah, saya berpendapat bahawa sepatutnya arahan diberikan hendaklah melibatkan kesemua kes kerana sememangnya kesemua kes tertakluk kepada peruntukkan seksyen tersebut dan mengapa hanya arahan tiada penangguhan bagi kes-kes berkaitan dengan SRC, 1MDB dan yang berkaitan dengannya sahaja yang mana ianya melibatkan pemimpin-pemimpin Pembangkang sahaja,” soalnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.