PH Jangan Jadikan Isu PTPTN Umpama ‘Kayu Buruk, Buruk Dek Panas Reput Dek Hujan’.. Tiada Solusi

SRI GADING, 4 Feb – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading, Mohamad Najib Samuri simpati melihat nasib malang golongan muda yang banyak tertipu oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sering bertindak lain dikata lain dibuat.

Ini terutama katanya, berkaitan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membelenggu anak-anak muda lepasan kolej serta institusi pengajian tinggi.

“Jadi janganlah isu PTPTN ini umpama kayu buruk, buruk dek panas, reput dihujan kepada golongan anak muda.

“Sebelum pilihan raya umum lalu, PH berjanji membenarkan peminjam dengan gaji RM4,000 ke bawah menangguhkan bayaran, tetapi manifesto itu tidak dapat dilaksanakan kerana dikatakan kedudukan kewangan negara belum kukuh.

“Sekiranya peminjam dibenar menangguhkan bayaran, hutang PTPTN akan menjadi beban besar kepada negara. Justeru, sehingga hari ini kerajaan masih lagi buntu mencari jalan penyelesaiannya terhadap perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, hal ini bertambah malang apabila Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengumumkan bahawa tiada lagi bantuan peringkat pendidikan tinggi melalui MyBrain.

“Ianya sangat membebankan anak muda, terutama yang bakal menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Cara lain, adalah dengan meminjam PTPTN.

“Hutang mereka akan bertambah sekiranya sewaktu ijazah pertama dahulu juga meminjam dari PTPTN. Ianya sangat membebankan mahasiswa dan anak muda,” katanya.

Tegasnya lagi, pembuat dan pelaksana dasar mesti mencari titik keseimbangan untuk mendapat jalan keluar agar masyarakat, terutama golongan muda yang masih belum menyelesaikan hutang PTPTN dapat menarik nafas lega.

“Pengerusi PTPTN sendiri katanya akan mendapatkan input dan melakukan kajian, namun sehingga hari ini masih mendiamkan diri.

“Saya mendapat rungutan anak muda bahawa setiap bulan peminjam akan menerima email dari PTPTN yang menyatakan hutang bulanan dan baki tertunggak kepada PTPTN.

“Seharusnya pada waktu ini, PTPTN wajar meminta semua peminjam untuk melakukan ‘reschedule’ pembayaran masing-masing bukan menambah tekanan kepada peminjam,” desaknya.

Najib turut menimbulkan persoalan adakah terdapat perbincangan meja bulat bersama mahasiswa, alumni insitusi pengajian, institusi perbankan dan pihak berkepentingan telah dilakukan oleh PTPTN bagi mencari jalan keluar terbaik terhadap perkara tersebut.

“Apakah keputusan yang diperoleh sekiranya ianya telah dilakukan?

“Akhirnya, saya berharap PTPTN tidak menjadi lintah darat, along mahupun ‘gangster’ yang mengutip hutang secara tiada kompromi.

“Sebaliknya, jika tidak tahu cari jalan penyelasaiannya tanyalah mereka yang lebih arif, jika malu, teruskanlah cara pembayaran sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang lalu,” ujarnya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.