BN Tinggalkan Rizab Petronas Tinggi, PH Tukang Jarah


KUALA LUMPUR, 4 Feb – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memaklumkan pada akhir bulan Mei tahun lalu beliau pernah memohon kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk terus memberi ruang dan modal yang cukup besar kepada Petronas.

Jelasnya, ini bagi membolehkan syarikat petroleum negara itu berdaya saing memenuhi visi mereka dan bukannya untuk PH menjarah dana Petronas atau bagi misi ‘bail-outs’ sebagaimana dilakukan ketika pentadbiran perdana menteri keempat dahulu.

“Tetapi, PH tidak hirau saya.

“Selepas mengambil-alih, PH umum mereka sedang dan akan ambil dana sebanyak RM82 bilion dari Petronas untuk tahun 2018 dan tahun ini.

“Akibatnya, syarikat penarafan kredit antarabangsa Moody’s telah menjatuhkan unjuran penarafan Petronas kepada negatif daripada stabil pada bulan November lalu,” tegas Najib dalam hantaran di Facebooknya.

Menurut Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika di bawah pentadbirannya telah mewarisi rizab tunai yang besar dalam Petronas kepada kerajaan PH.

“Rizab tunai Petronas meningkat kepada hampir RM180 bilion pada akhir Jun 2018 berbanding RM128.2 bilion pada tiga bulan lalu iaitu pada penghujung 2017.

“Peningkatan ini adalah berikutan harga minyak yang memberangsangkan selain dari penerimaan bayaran dari pelaburan Aramco Saudi bagi projek RAPID Pengerang.

“Rizab tunai Petronas masa PH mengambil alih kerajaan adalah jauh lebih tinggi berbanding tahun 2008 semasa saya mula bertugas sebagai menteri kewangan,” katanya.

Tambahnya lagi, pada ketika pentadbirannya, beliau amat teliti dalam memastikan Petronas tidak perlu membayar dividen kepada kerajaan melangkaui keperluan bagi memastikan mereka mempunyai imbangan tunai mencukupi bagi memenuhi pelan pengembangan dalam sektor perniagaan utama dan hiliran bagi menjadi sebuah syarikat tenaga berintegrasi bertaraf dunia.

“Hasilnya, baki tunai Petronas telah meningkat secara signifikan dan syarikat ini berupaya membuat pelaburan serta berkembang untuk melaksanakan projek bersifat ‘game changer’ seperti projek RAPID Pengerang, Projek Integrasi Minyak dan Gas Sabah Sarawak (SSIOGP) dan projek Amonia dan Urea Sabah (Samur).

“Pada masa itu, Petronas turut diberi ruang kebebasan untuk membuat pelaburan dalam projek huluan yang besar di Malaysia dan di merata tempat di dunia seperti Kanada, Iraq dan Brunei.

“Pelaburan-pelaburan ini akan berupaya menghasilkan dividen yang tinggi bagi Petronas serta Malaysia bagi jangka masa panjang. Kita melabur untuk memastikan manfaat bagi jangka masa panjang,” jelasnya.

Tetapi katanya, kerajaan PH baru-baru ini telah menyatakan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dibiayai dengan meminta Petronas, Khazanah dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat bayaran dividen yang lebih tinggi kepada kerajaan.

“Bagaimanapun pendekatan ini adalah rapuh (not sustainable) dan bakal mengorbankan jangka masa panjang hanya untuk pembiayaan jangka masa pendek.

“Keuntungan Petronas juga bergantung kepada harga minyak dan gas dunia yang terletak di luar kawalannya. Kebergantungan yang keterlaluan terhadap harga minyak yang tinggi sepatutnya dielakkan.

“Walaupun harga minyak dunia sekarang agak tinggi berbanding jangkaan dalam bajet 2018 saya, kita perlu menjaga jika harga minyak jatuh lagi seperti kejatuhan sebanyak 80% yang berlaku pada tahun 2014 dan 2015,” katanya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.