Pimpinan PH Penipu? AES Dikata Zalimi Rakyat, AWAS?


KUALA LUMPUR, 3 Feb – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mempertikai sikap dan pendirian pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang kini dijenamakan sebagai Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

Bidasnya, rakyat masih ingat bagaimana pemimpin PH ketika mereka menjadi pembangkang dahulu mengkritik dengan teruk sekali polisi kerajaan Barisan Nasional (BN) mempraktikkan sistem tersebut bagi mendisiplinkan pengguna jalan raya terutama mengurangkan kemalangan.

“Pimpinan PH ketika itu menuduh BN menzalimi rakyat dan mereka berjanji dan berkata akan mansuhkan AES yang zalim ini jika menang PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14).

“Malah sebelum menang, menuduh kerajaan BN telah terlebih bayar 10 kali ganda kerana membeli kamera dengan harga RM170,000.

“Kononnya menuduh Kerajaan BN membazir duit rakyat dan sebagainya,” ujarnya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Tetapi malangnya kata Dr. Shamsul lagi, pendirian pimpinan PH berubah apabila menjadi kerajaan.

“Kenapa bila kerajaan PH memerintah mereka tidak menghapuskan AES sebagaimana dijanjikan?

“Sebaliknya AES diteruskan malah dijenamakan semula menjadi AWAS. Lebih hebat kamera ditambah dan tiada lagi setakat ini diskaun saman diberikan sebagaimana kerajaan BN dahulu.

“Lebih memeranjatkan kos kamera yang dibeli lebih mahal berbanding dahulu,” sinisnya.

Tambah Dr. Shamsul lagi, disebabkan sikap pemimpin PH tersebut telah menimbulkan kemarahan rakyat apatah lagi sikap angkuh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang tidak hairan dengan bantahan rakyat sedangkan beliaulah antara pimpinan Dap yang hebat mengkritik AES.

“Beliau seolah menganggap rakyat tidak tahu apabila berkata bahawa ianya bukan ditanggung kerajaan PH. Katanya, PLUS (Lebuhraya Utara-Selatan) yang tanggung sebagai tanggungjawab sosial korporat.

“Sedangkan semua orang tahu bahawa PLUS 51% milik kerajaan melalui Khazanah dan 49% dimilik KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) setelah kerajaan BN ketika tahun 2011 membuat pengambilan. Ini bermakna kos berkenaan juga ditanggung kerajaan.

“Inikah yang menyebabkan rakyat tidak berpuashati. Paling utama Kerajaan PH tidak jujur dan menipu dan tidak menepati janjinya kepada rakyat. Apa yang dilakukannya sekarang berbeza dengan pendirian mereka sebelum ini,” tegasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.