Hapus AES Tukar AWAS: PH ‘Hero’ Menipu Rakyat, Siap Tambah Kamera Lagi…

3 Feb – Pemuda UMNO Negeri Johor membidas pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dahulu amat lantang membantah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tetapi kini diam seribu bahasa.

Menurut Ketua Penerangannya, Johan Azam Mohd Yasin, jika sebelum ini antara yang lantang adalah Datuk Mahfuz Omar, Lim Guan Eng, Abdullah Sani Abdul Hamid bahkan termasuk juga Anthony Loke yang kini menjadi Menteri Pengangkutan.

“Hari ini, setelah PH membentuk kerajaan, perjuangan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu untuk melihat AES dimansuhkan nampaknya tidak menjadi kenyataan dan hanya cerita palsu mereka sahaja.

“Sebaliknya, sistem tersebut dikekalkan malah ditambah lagi kamera AES di Lebuh Raya Utara Selatan dengan kos RM200,000 setiap kamera iaitu lebih mahal daripada zaman kerajaan terdahulu iaitu RM170,000.

“Saya dan rakyat Johor masih ternanti-nanti apa pendirian Mahfuz yang kini sudah bergelar Timbalan Menteri Sumber Manusia berhubung isu berkenaan. Kami mahu juga melihat beliau melakukan demonstrasi dan menyeru rakyat agar tidak membayar saman AWAS ini,” tegasnya dalam satu kenyataan media mempersoalkan tindakan membisu Mahfuz setelah selesa berada di kerusi empuk.

Baru-baru ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa kerajaan akan menambah 11 Kamera AES di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dengan kos sebanyak RM 200 ribu.

Mahfuz juga katanya dahulu sering menuduh kerajaan mengaut keuntungan daripada hasil saman AES yang dikenakan kepada rakyat malahan alasan pelaksanaan sistem tersebut adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sangat tidak masuk akal.

“Pejuang hebat ini sering menyeru orang ramai untuk tidak membayar saman tersebut dan membuat demonstrasi membantah sistem itu.

“Lim Guan Eng sewaktu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang juga berusaha bersungguh-sungguh menolak AES kerana membebankan rakyat.

“Tindakan mereka ini juga disokong oleh PKR sendiri melalui Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid di mana alasan AES perlu diteruskan sebagai tindakan holistik bagi mengurangkan kadar kemalangan maut tidak munasabah dan tidak boleh diterima serta hanya untuk mengkayakan kroni hasil ‘rompakan’ duit rakyat,” bidas Ketua Pemuda UMNO Kota Tinggi itu lagi.


Tambah Johan, hari ini, Anthony selaku Menteri Pengangkutan yang bertanggungjawab memansuhkan AES secara total tetapi telah dijenamakan semula sebagai Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

“Penambahan 11 lagi kamera AWAS ini sudah pastinya menjadikan beliau sebagai menteri yang digelar sebagai ‘hero’ dalam menindas rakyat dan menipu rakyat Malaysia.

“Beliau juga secara tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa penambahan 11 kamera tersebut adalah ditanggung oleh PLUS bukannya kerajaan. Mungkin Menteri Pengangkutan ini tidak sedar GLC atau syarikat di bawah milik kerajaan. Rakyat marhaen pun sedar YB!. Cukup-cukuplah menipu rakyat,” katanya lagi.

Ironinya jelas Johan, semalam tular perkongsian laman sosial ‘Facebook’ Loke Siew Fook bertarikh 21 November 2012 di mana beliau menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) menindas rakyat dengan saman AES dan beliau menggesa rakyat untuk menolak AES dan menolak BN.

“Mahfuz juga semalam menjawab bahawa beliau tidak mahu melayan atau menjawab perkara ini.

“Biasalah apabila sudah menjadi menteri, semua yang pernah dijanji dulu dibakul sampahkan sehinggakan rakyat tidak dipedulikan lagi.

“Kasihan pada rakyat Malaysia apatah lagi di Pokok Sena bertambah-tambah kasihan,” sinisnya.

Justeru, dengan tegas Johan memberi amaran kepada PH bahawa rakyat yang mereka tipu itu akan memastikan parti tersebut akan dihukum pada pilihan raya akan datang. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.