PRK Semenyih: Mesej Besar, Referendum Rakyat Terhadap Kerajaan Kakistokrasi

2 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berpendapat jika difikirkan secara logik biasa, Barisan Nasional (BN) tidak mungkin mampu menewaskan Pakatan Harapan (PH) di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nanti.

Ini kerana menurutnya, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, PH melalui wakilnya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menang di kawasan tersebut dengan majoriti hampir 9 ribu undi.

“Apa lagi mereka kini berkuasa di negeri dan pusat dan parti mereka memimpin kerajaan PH.

“Mereka juga telah mengikat kaki dan tangan BN, dengan membekukan semua akaun UMNO, menjadikan UMNO dan BN sudah hampir setahun tanpa dana.

“Mereka juga cuba melumpuhkan UMNO dengan pelbagai cara menggunakan kuasa yang ada pada mereka,” kata Annuar di dalam Facebook peribadinya.

Namun ujarnya, walaupun diperlakukan sedemikian, Annuar bersyukur kerana sehingga ke hari ini UMNO dan BN bukan saja tidak mati, malah makin didokongi rakyat.

“Tumpasnya PH di PRK Cameron Highlands dengan majoriti yang besar adalah satu titik permulaan yang bakal menghantui PH, khususnya PPBM,” tambahnya.

Jelas Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, bukan sahaja UMNO dan Barisan Nasional sedang bangkit dengan nafas baharu, malahan gagasan pembangkang juga melalui proses sama dengan bentuk yang lebih segar sedang dijelmakan.

Katanya, ini melibatkan dengan pelbagai parti politik terutamanya PAS dan puluhan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain mewakili suara rakyat yang semakin berani berhadapan dengan kerajaan kakistokrasi Pakatan Harapan (PH).

“Semua tau PH telah gagal. Mereka sendiri sudah mengakuinya. Mereka sendiri yang menuduh dan mengesahkan sesama mereka. Mereka yang membuktikan ‘kleptocracy’ sudah berganti dgn ‘kakistocracy’, yang merana kini adalah rakyat.

“Justeru gagasan pembangkang harus bersedia membuat persiapan untuk membela rakyat dan membawa suara rakyat. Pembangkang lebih dari berupaya (setelah memperbaiki diri) untuk muncul membawa ‘new deal’ dan ‘new hope’ untuk Malaysia,” ujarnya lagi.

Bagi UMNO pula katanya, parti tersebut terus dimurnikan dengan pertukaran pimpinan secara teratur, menerap budaya dan corak organisasi yang lebih unggul hasil ‘sikap tidak malu’ untuk berubah dan merakyat.

Justeru jelasnya, PRK di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah satu pilihan raya kecil yang bakal membawa mesej yang besar, satu ‘referendum rakyat’ terhadap prestasi dan perlakuan kerajaan khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Semenyih adalah peluang referendum untuk membuktikan rakyat kecewa.. untuk membuktikan kini parti mana mendapat dokongan umat Melayu dan Islam… UMNO dan PAS atau PPBM dan Dap.

“Ia juga satu referendum untuk melihat sejauh mana Dap yang gagal dibantu PPBM di PRK Cameron Highlands, mahu membantu PPBM di Semenyih.

“Ia boleh juga dijadikan referendum oleh PKR, yang sebelum ini secara jelas ditikam dari belakang oleh PPBM,” katanya.

Jelasnya lagi, susutnya majoriti PPBM atau apatah lagi jika tewasnya mereka di tangan UMNO/BN yang diikat kaki dan tangan mampu menjadi pukulan maut buat PPBM.

“Ia mungkin menjadi katalis perpindahan kuasa dan kepimpinan kepada DSAI/DSAA (Datuk Seri Anwar Ibrahim/Datuk Seri Azmin Ali).

“Justeru tewasnya PPBM adalah penting bagi semua… Bagi rakyat, bagi UMNO/BN, bagi PAS dan gagasan pembangkang, malah bagi PKR dan bagi Dap juga.” Katanya.

Walaupun begitu ujarnya, bukan mudah untuk menewaskan penyandang dan sebuah parti kerajaan yang menang dengan majoriti sebegitu besar.

“Namun ia bukan mustahil apabila rakyat mula sepakat, tewasnya calun PPBM di Semenyih adalah kemenangan buat kita semua.. Ia permulaan kepada perubahan sebenar.

“Jom, jangan lepaskan peluang keemasan.. Pilihan raya kecil dengan mesej yang besar.

“Semenyih… Satu referandum rakyat, Insya-Allah,” tegasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.