MySalam: Tangguh Dulu, Jangan Gopoh

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Kenapa tergopoh-gapah sangat hendak melaksanakan Skim Perlindungan Nasional B40 (Skim mySalam), sedangkan perkhidmatan kesihatan negara ketika ini antara yang terbaik di dunia?

Tidak semua perkara yang dilaksanakan di Ame¬rika Syarikat, Australia dan Uni-ted Kingdom boleh dicontohi kerana hakikatnya ketiga-tiga negara itu juga gagal dalam menyediakan perkhid¬matan kesihatan yang terbaik kepada rakyat masing-masing.

Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof. Dr. Azmi Mohd. Nor berkata, kesihatan, pendidikan dan infrastruktur merupakan tiga bidang utama yang tidak patut diswastakan kerana akan memberi kesan jangka panjang kepada seluruh rakyat.

“Tangguh dan kaji secara mendalam. Jangan tergopoh-gapah melaksanakan skim itu sebab hanya menguntungkan syarikat insurans dan akhirnya rakyat yang menderita.

“Bayaran one-off RM8,000 itu bukanlah jumlah yang besar, misal¬nya pembedahan apendiks sahaja mencecah RM7,000 dan jika pembedahan kanser usus pula boleh mencapai hingga RM25,000,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas Dr. Azmi, kos pembedahan kanser usus itu walau bagaimanapun belum mengambil kira rawatan susulan seperti radiote¬rapi dan kimoterapi yang turut melibatkan perbelanjaan cukup besar.

Atas sebab itu, beliau yakin syarikat insurans akan menaikkan premium perubatan yang akhirnya menyebabkan kos rawa¬tan di hospital turut meningkat.

“Mereka ini berniaga dan apabila semua ini naik siapa yang akan tanggung, sudah tentu kerajaan. Bagaimana kerajaan hendak mendapatkan sumber untuk menampung semua ini, naikkan cukai yang akhirnya golongan pendapatan pertengahan (M40) semakin sengsara,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu, penerima skim mySalam akan mendapat bayaran sekali sahaja sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidap salah satu daripada 36 jenis penyakit kritikal.

Skim itu akan memberi bayaran harian sebanyak RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan dengan RM700 setahun.

Dalam pada itu, Dewan Muda Johor (DMJ) dalam kenyataan berpendapat skim berkenaan secara terang-terangan mengetepikan golongan muda B40.

Hal ini kerana, menurut DMJ, melalui syarat penerima skim itu, kerajaan akan mengguna pakai data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan sudah tentu golongan muda B40 yang hampir tiga juta serta masih bujang tidak layak menerima manfaat mySalam.

Walau bagaimanapun, kata DMJ, jika data Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diper¬kenal kerajaan terdahulu diguna pakai, maka golongan muda B40 tanpa mengira status sudah pasti layak menerima manfaat skim mySalam.

“Malangnya, kerajaan sekarang yang selalu mencanang slogan #youthpower dilihat sudah banyak mengetepikan kebajikan golongan muda pada hari ini,” menurut DMJ dalam satu kenyataan. – Utusan Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.