Hina Agong: Kerajaan Pahang Desak Tindakan Tegas, Segera

KUANTAN, 2 Feb – Kerajaan negeri Pahang mendesak supaya tindakan tegas dan hukuman segera dikenakan terhadap pihak yang menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebagai penyelesaian jangka panjang, beliau mencadangkan supaya undang-undang khusus berkaitan isu tersebut dibincangkan secara serius dan diperkenalkan, merujuk kepada pelaksanaan undang-undang seperti itu di Thailand.

“Tindakan menghina Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja biadap pada tahap paling buruk, tatapi juga pengkhianat kepada kedaulatan institusi raja-raja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Rosdy menambah pihak polis juga diminta membuat tindakan segera kepada laporan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan isu tersebut.

“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia juga diharap dapat membantu menjejak pemilik akaun Facebook (yang memuat naik status menghina) dan menggunakan kuasa yang ada untuk menghukum pelaku,” katanya.

Media semalam, melaporkan 20 NGO, jabatan kerajaan dan parti politik di Pahang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, berhubung tindakan pengguna laman sosial Facebook yang menggunakan nama akaun ‘Desmond Yongkor’ yang didakwa menghina Sultan Abdullah.

Sultan Abdullah secara rasmi menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada Khamis lalu, selepas istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan di Istana Negara. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.