Iktibar Dari Cameron Highlands

MENARIK untuk mengamati pelbagai macam analisis dan pandangan mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini.
Apa jua pengisian hujah dan congakan yang dibuat, majoriti pengundi Cameron Highlands sudah menghantar isyarat bahawa mereka masih setia bersama Barisan Nasional (BN).

Pakatan Harapan (PH) yang awal-awal lagi melaungkan keyakinan untuk menang akhirnya memilih untuk menuduh BN bermain isu kaum dan agama sebagai alasan kekalahan.

Benarkah begitu?

Jumlah pengundi Melayu di sana hanya ada kira-kira 35 peratus, angka yang menunjukkan bahawa jika semua pengundi Melayu mengundi BN sekalipun, BN tidak mampu menang.

Walaupun PH dilaporkan berjaya ‘mencuri’ sebilangan daripada 21 peratus undi Orang Asli yang diketahui sebagai penyokong setia BN selama ini, namun PH tetap kalah.

PH tewas dalam keadaan jentera kerajaan dikerah semaksimum mungkin, manakala menteri-menterinya turun dan berkali-kali mengingatkan pengundi bahawa mereka adalah ‘government of the day’.

Bagi saya, itulah cerita pokoknya.

Pemimpin PH menyangka, status sebagai Kerajaan Persekutuan adalah tiket kemenangan. Mereka yakin menang kerana menganggap pengundi sedang kemaruk mendambakan gula-gula dari kerajaan.

Pemimpin PH menyangka, status parti pemerintah akan membolehkan mereka menang kerana boleh melakukan apa sahaja termasuk mengugut menghentikan bayaran elaun kepada Tok Batin Orang Asli.

Pemimpin PH menyangka, status parti pemerintah akan menyebabkan rakyat terpesona tatkala menteri-menteri turun berduyun-duyun memberi harapan dan menabur janji.

Ya, mereka menyangka pemikiran masyarakat luar bandar seperti di Cameron Highlands boleh diremehkan sedemikian rupa. Namun, realitinya tidak begitu.
Dua minggu bersama jentera UMNO Perak berkampung di Cameron Highlands, saya dan rakan-rakan berpeluang melihat sendiri bagaimana pengundi khususnya Orang Asli
membuat keputusan.

Mereka bukan lagi masyarakat nomad yang memencil diri dalam kehidupan hutan belantara. Tempias pembangunan yang meresap sekian lama menjadikan mereka semakin cakna dengan isu-isu sekeliling.

Mereka tahu apabila ada orang politik yang datang dan angkuh mengugut Tok Batin jika tidak mengundi parti kerajaan.

Mereka tahu apabila ada timbalan menteri yang mengamuk seperti budak-budak apabila ditegur kerana berkempen menggunakan jentera kerajaan.

Apabila ada menteri turun menjanjikan bulan dan bintang, mereka tahu orang-orang inilah yang pernah datang berjanji pada pilihan raya lalu tetapi enggan mengotakannya.

Orang Asli juga tahu, orang-orang ini pernah berjanji mahu ‘membersihkan agensi kerajaan’ tetapi hari ini kroni dan anak isteri mereka dilantik mengisi jawatan utama dalam syarikat-syarikat milik kerajaan.

PH tentunya memahami kenapa mereka begitu sukar menembusi DUN Jelai – kawasan dihuni ribuan peneroka – golongan yang paling kecewa dengan sikap dingin kerajaan ketika mereka berdepan suasana getir tatkala harga sawit dan getah terus merudum.

Realitinya, pertembungan di Cameron Highlands bukan mengenai isu kaum dan agama, tetapi kebijakan rakyat melawan keangkuhan kerajaan apabila suara mereka dipandang enteng.

Bagi BN, kejayaan PRK Cameron Highlands sewajarnya disambut dengan keinsafan bahawa rakyat masih menaruh harapan yang tinggi kepada parti.

Pengundi menghantar isyarat betapa kecurangan kerajaan yang ada hari ini mesti ditentang supaya apabila tiba masanya kelak, pembelaan serta hak-hak rakyat dapat ditegakkan semula.

Jangan sesekali dibiar kemenangan ini membibitkan sikap riak dan sombong. Gerak kerja dan berpasukan termasuk bersama jentera Pas perlu terus disuburkan dengan semangat ukhwah dan hormat menghormati.

Semangat itu sudah terpapar jelas di Cameron Highlands. Biar pertembungan di Semenyih pula menjadi bukti bahawa agenda penyatuan ummah yang sedang dibina ini bukan lagi mitos, tetapi suatu realiti.

DATO SAARANI MOHAMAD
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak merangkap ADUN Kota Tampan

Dipetik dari UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.