mySalam: Kerajaan Patut Belajar Kegagalan Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Kegagalan sistem insurans perubatan yang digunakan di Amerika Syarikat (AS) yang tidak berjaya mengawal pihak swasta menetapkan harga perkhidmatan kesihatan sehingga membebankan rakyat sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan supaya lebih teliti dalam memperkenalkan sistem perlindungan.

Pengenalan Skim Perlindungan Nasional B40 (Skim mySalam) di premis kerajaan malah hanya akan mengundang pelbagai persoalan dan persepsi negatif masyarakat yang telah pun menerima perkhidmatan kesihatan kerajaan percuma selama ini.

Itu merupakan pandangan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof. Dr. Azmi Mohd. Nor yang turut mempersoalkan nasib pesakit golongan selain daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) sama ada akan mula dicaj penuh di hospital dan klinik kerajaan selepas pelaksanaan Skim mySalam.

Katanya, kerajaan juga sepatutnya menilai kesan jangka panjang pelaksanaan skim tersebut termasuk sumber lain untuk menampung peningkatan tanggungan kepada premium insurans setiap tahun.

“Susulan daripada persoalan ini, adakah perkhidmatan kesihatan akan mula berubah kepada penswastaan supaya lebih banyak syarikat insurans akan mula memasuki pasaran untuk menyediakan skim lebih baik kepada rakyat? Pada masa itu bagaimanakah kerajaan dapat mengawal kadar premium insurans dan caj perkhidmatan kesihatan yang dikenakan?

“Apabila hal ini berlaku, dibimbangi penyampaian perkhidmatan kesihatan universal di Malaysia akan terjejas dan menyebabkan peningkatan semula kadar penyakit berjangkit dan kronik sekali gus menambah beban kesihatan berganda kepada Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad melancarkan mySalam yang menawarkan perlindungan insurans dan takaful kesihatan percuma yang menurut beliau skim itu menyediakan perlindungan takaful kepada golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat berumur 18 hingga 55 tahun.

Menurut Dr. Mahathir lagi, skim itu juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan B40 mengenai perlindungan insurans dan takaful selain ia melibatkan sumbangan permulaan besar sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern Life. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.