UMNO, PAS Sokong Pelan Anti Rasuah Nasional

PUTRAJAYA, 29 Jan — Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menyifatkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan hari ini sebagai satu pelan yang baik sejajar usaha memerangi budaya rasuah dengan memastikan gejala itu dapat dibendung dan sekaligus dihapuskan.

Beliau, yang kini menjalankan tugas presiden parti itu, turut menyatakan sokongan terhadap pelan yang dianggap amat wajar dilaksanakan untuk bangsa dan negara, dan jika ia tidak ditangani dari peringkat awal, jenayah rasuah boleh menghancurkan sesebuah tamadun.

Mengambil contoh tamadun dan empayar besar masa lepas yang kuat, beliau berkata tamadun itu akhirnya runtuh disebabkan amalan rasuah.

“Kita tidak boleh menunggu lama lagi dan perasaan benci rasuah ini mesti ditanam sebagai budaya di dalam hati dan minda rakyat. Ini bukan hanya melibatkan undang-undang tetapi perlu ada kesedaran dari dalam diri kita sendiri,” katanya  selepas menghadiri majlis pelancaran NACP oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Pelan yang dibangunkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional  (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan itu dilaksanakan berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama.

Ia mengandungi 115 inisiatif anti rasuah melibatkan sektor iaitu politik; perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; pentadbiran sektor awam; perundangan dan kehakiman; serta tadbir urus korporat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut menyokong usaha NACP berkata membendung dan mencegah gejala rasuah adalah tanggungjawab bersama semua rakyat.

“Usaha ini menjadi tanggungjawab bersama semua pihak berkaitan,” katanya.

Abdul Hadi dalam catatan dalam laman Facebook beliau pula berkata PAS sentiasa menjunjung tinggi nilai integriti dan ketelusan dalam negara, serta terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi menjadikan Malaysia bersih daripada rasuah.

Pada majlis itu, Mohamad dan Abdul Hadi masing-masing menerima buku NACP daripada Dr Mahathir.-Bernama