Israel Wajar Dihukum, Ketegasan Malaysia Disokong – Reezal Merican

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menganggap kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin wajar dihukum dengan kaedah diplomatik sepertimana dilakukan Malaysia yang melarang atlet negara itu hadir ke Malaysia.

Katanya, ketegasan kerajaan untuk tidak membenarkan atlet Israel hadir menyertai pertandingan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 itu wajar dihargai dan dipuji kerana Malaysia perlu menjadi ‘suara paling lantang’ dalam menyatakan tidak setuju terhadap jenayah kemanusiaan yang dilakukan Israel.

Beliau yang juga bekas Menteri Luar menghargai pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam isu tersebut meskipun berdepan kritikan masyarakat antarabangsa.

“Kita jangan mudah berganjak. Israel tidak sewajarnya mempunyai ‘hak istimewa’ untuk melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin. Kekejaman negara penjenayah itu mesti terus dihukum dengan cara diplomatik begini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dua minggu lalu, Dr. Mahathir menegaskan atlet Israel tidak dibenarkan hadir ke negara bagi bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan dan sekiranya berdegil ia adalah satu kesalahan.

Ketegasan kerajaan itu membuatkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia.

Mengulas lanjut, Reezal Merican yang juga memantau portfolio Kementerian Luar dalam Kabinet bayangan Barisan Nasional (BN) berkata, soal IPC membatalkan hak penganjuran itu juga tidak perlu mendatangkan resah.

Katanya, ini kerana pelbagai ancaman serta tindakan balas akibat ketegasan Malaysia itu adalah lumrah dan ia membayangkan betapa kuatnya Israel dalam beberapa badan antarabangsa, termasuk organisasi sukan.

“Masyarakat dunia sudah terlalu memberi muka kepada kekejaman Israel. Walaupun mungkin Malaysia akan diserang dalam media antarabangsa, ketegasan kerajaan ini wajar dipuji dan dipertahan,” katanya.

Reezal Merican mengharapkan para perwakilan kedutaan Malaysia di seluruh dunia dapat mempertahan keputusan kerajaan itu dengan memberikan rasional terbaik mengenainya tanpa perlu bersikap meminta maaf dengan ketegasan Perdana Menteri dan kerajaan.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.