PRK Cameron Highlands: Pusat Pengundian Dibuka Bermula Pukul 8 Pagi, DUN Tanah Rata Dianjakkan Waktu Tutup

JELAI, 26 Jan – Setelah 14 hari berkempen dengan pelbagai gaya dan corak yang dipamerkan dari kesemua parti yang bertanding, hari ini adalah hari penentuan siapa yang akan dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands.

Kesemua pusat pengundian dibuka bermula pada pukul 8 pagi dan ditutup seawal jam 1 petang terutama di pusat-pusat pengundian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai berbanding DUN Tanah Rata dianjakkan waktu ditutup sehingga jam 5.30 petang.

Sebagaimana yang disiarkan di laman Facebook rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dibentangkan beberapa pusat pengundian di dalam DUN Tanah Rata yang dianjakkan waktu tutup contohnya seperti pusat pengundian di SJK (C) Bertam Valley dan SJK (T) Ringlet daripada pukul 5 petang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu ke 5.30 petang untuk PRK kali ini.

Berbanding di DUN Jelai, di SMK Sungai Koyan waktu tutup sama seperti ketika PRU-14 lalu.

Ironinya, di ketiga-tiga pusat pengundian tersebut mempunyai jumlah pengundi yang hampir sama antara dua ribu ke dua ribu tiga ratus pengundi.

Begitu juga bagi pusat pengundian SJK (C) Kuala Terla dan SJK (C) Tringkap di DUN Tanah Rata dianjakkan waktu tutup ke jam 5.30 petang berbanding bagi SK LKTP Sungai Koyan dan SK Betau bagi DUN Jelai yang sama waktu tutupnya ketika PRU-14 lalu pada 3.30 petang.

Juga mempunyai jumlah pengundi yang tidak jauh berbeza antara seribu dua ratus ke seribu lima ratus pengundi.

Terdapat penambahan saluran sebanyak 18 saluran dibuat menjadikan 88 saluran kesemuanya berbanding hanya 70 saluran pada PRU-14.

Antara alasan yang diberikan oleh pihak SPR disebabkan faktor keselamatan serta logistik.

PRK kali ini juga boleh disifatkan antara yang paling aman dan harmoni kerana sepanjang tempoh berkempen tiada kejadian besar yang tidak diingini berlaku.

Walaupun begitu, jelas kelihatan jentera Pakatan Harapan (PH) membuat beberapa kesalahan tataetika kempen pilihan raya seperti perlakuan pemberian elaun ‘duit minyak’ kepada sukarelawan, mengugut tok batin mahu membatalkan elaun dan tiada projek pembangunan sekiranya tidak mengundi PH, hinggalah menggunakan kenderaan hak milik kerajaan negeri untuk berkempen politik.

Tambah mendukacitakan, tiada tindakan tegas dikenakan kepada PH daripada pihak berkuasa walaupun mempunyai bukti yang jelas serta terangkum di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ironinya juga, keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalkan kemenangan C.Sivarraajh dari BN pada PRU-14 lalu bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands ini disebabkan kesalahan yang sama.

Apapun, perkara tersebut tidak mematahkan semangat serta kejituan jentera BN dalam memastikan kemenangan tetap berpihak kepada BN.

BN turut mengucapkan setinggi penghargaan atas komitmen jentera yang bertungkus lumus tanpa jemu berkempen walaupun dalam menghadapi pelbagai rintangan dan kekangan demi mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands ini.

Begitu juga ucapan ribuan terima kasih kepada kepimpinan dan jentera PAS yang begitu komited membantu kempen BN baik dari peringkat pusat mahupun di akar umbi.

SPR memaklumkan, berdasarkan daftar pemilih pada Suku Ketiga Tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 14 Disember 2018, jumlah pemilih yang layak untuk mengundi biasa adalah 31,749 orang.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 110 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada pengundi yang layak mengundi secara pos menjadikan mereka yang layak mengundi biasa pada hari ini adalah seramai 31,639 orang.

BN diwakili anak tempatan dari suku Semai dan bekas Penolong Pesuruhjaya Polis, Ramli Mohd Nor manakala PH yang diwakili calon ‘kitar semula’nya dari parti Dap M. Manogaran.

Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee pula mewakili Bebas.

Pada 22 Januari lalu, pengundi awal yang berdaftar seramai 247 orang mengundi di Bilik Maklumat Balai Polis Brinchang dan Bilik Maklumat Balai Polis Sungai Koyan.

Pengundi dinasihatkan supaya membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang rasmi dan sah (yang memaparkan maklumat gambar, nama dan nombor kad pengenalan) pada hari mengundi serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

SPR turut mengumumkan akan mengadakan liputan secara langsung proses pengiraan undi di laman sosialnya www.facebook.com/sprgovmy/. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.