PH Terus ‘Desperate’ Untuk Raih Undi Di Cameron Highlands – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beranggapan Pakatan Harapan (PH) cukup ‘desperate’ untuk mendapatkan sokongan rakyat khususnya kalangan pengundi setempat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands esok.

Menurut beliau kesepaduan jentera parti di semua peringkat dengan masing-masing melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka membolehkan kempen terhadap calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor berjalan lancar selain keberadaan bersama parti Pas yang ikhlas membantu pada PRK berkenaan.

“Penolakan rakyat khususnya masyarakat Felda serta orang Asli dan penduduk tempatan lain dibimbangi akan menyebabkan mereka mengambil langkah-langkah yang tidak sewajarnya dalam usaha memenangi kerusi berkenaan.

“Kita difahamkan terdapat kalangan pemimpin PH yang tidak dapat memasuki kawasan Felda selain kempen mereka daripada rumah ke rumah tidak mendapat sambutan. Di Felda jelas bahawa ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan hari ini yang menjanjikan pelbagai janji tidak ditunaikan malah kehidupan mereka hari ini agak tertekan kerana harga kelapa sawit yang rendah dan barang pula meningkat.

“Dulu kerajaan BN bagi pelbagai insentif untuk bantu peneroka misalnya kalau pendapatan mereka kurang daripada RM1,500 sebagai contoh, maka segala bayaran hutang dibekukan sementara waktu sehinggalah pendapatan melebihi jumlah berkenaan barulah hutang-hutang dibayar semula, jadi banyak yang diberikan insentif dan hari ini tidak ada.

“Dari segi sokongan Orang Asli pula kita lihat mereka masih bersama kita. Walaupun yakin dengan sokongan Orang Asli namun PH juga memberikan tumpuan terhadap kempen dikawasan berkenaan dan kita nampak yang mereka akan cuba menarik undi daripada masyarakat Orang Asli ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Diskuis P.078 Cameron Highlands yang dihoskan oleh Datuk Dr Azizan Abdul Majid. Diskusi berkenana disirakan secara live menerusi medium facebook mediaumnomalaysia.

Tambah Ismail Sabri, sebab itulah diperingkat awal lagi umum dapat melihat bagaimana ugutan terhadap Tok Batin yang jelas merupakan satu perkara yang tidak pernah sama sekali berlaku sebelum ini.

“Saya pernah jaga Tok Batin apabila menjadi Menteri Luar Bandar dan saya tahu ada kalangan Tok Batin yang tidak menyokong kita namun kita tidak pernah ugut nak pecat atau pun bayar gaji dan sebagainya. Ini sebagai gambaran bagaimana ‘desperate’ mereka,” tambahnya.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Bera, calon yang diketengahkan BN, Ramli Mohd Nor bukan sahaja ketiadaan isu malah menerima reaksi positif daripada pelbagai kumpulan lapisan masyarakat setempat.

“Kita juga bimbang apabila MIC tidak bertanding sebagai contoh… takut ada reaksi balas tetapi saya lihat masyarakat India di sini menerimanya dengan baik dan begitu juga masyarakat Cina. Mungkin kerana beliau orang tempatan dan boleh berkomunikasi bahasa Cina dengan baik sebagai contoh. Ini point tambahan kepada Ramli.

“Begitu juga dengan pengundi lain termasuklah masyarakat Islam dan sebagainya. Beliau diterima baik malah penyokong Pas juga menerima dengan baik dan bagi masyarakat Asli pula inilah yang ditunggu-tinggu oleh mereka,” ujarnya.

Ismail Sabri seterusnya mengingatkan jentera parti betapa pentingnya hari mengundi kerana gerak kerja selama 13 hari akan menjadi musnah sekiranya gagal melaksanakan tugas pada hari pengundian.

“Hari mengundi cukup penting. Kerja kita dah ‘perfect’ walaupun ada sedikit masalah… itu biasalah. Cuma hari mengundi itu… keluarkan pengundi putih. Kalau boleh sebelum pukul 12 keluarkan semua pengundi putih kita. Tambahan pula ada sesetengah pusat mengundi tutup awal. Kenderaan pula dah siap sedia dan sebagainya lagi. Jangan alpa sehingga pusat mengundi ditutup,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pas pelbagai peringkat kepimpinan atas komitmen mereka yang begitu tinggi membantu calon BN, Ramli Mohd Nor sepanjang kempen hinggalah kepada hari mengundi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.