MySalam: Kerajaan PH Diminta Kaji Lebih Dulu Sebelum Perkenal Dasar Baru


KUALA LUMPUR, 25 Jan – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya terus menerus memperkenalkan dasar baharu tanpa terlebih dahulu membuat kajian yang mendalam, seperti yang dapat dilihat dalam pelbagai kesalahan demi kesalahan berulang dilakukan setakat ini, tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap pelancaran skim insurans B40 yang dinamakan sebagai “mySalam”.

“Saya memuji inisiatif Kerajaan baharu dalam menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan yang sangat diperlukan, meringankan beban kos sara hidup dan menambah baik kesejahteraan rakyat, walau bagaimanapun, saya percaya bahawa isu berhubung dengan skim ini serta sistem penjagaan kesihatan negara secara keseluruhannya, mesti ditangani dengan baik,” katanya melalui kenyataan di laman Facebook.

Beliau berkata skim perlindungan B40 ini sangat memerlukan rujukan serta maklum balas yang terperinci dari pelbagai sumber termasuklah masyarakat awam.

“MySalam ini sudah pasti akan menggalakkan lebih ramai pesakit dan tenaga pakar berkhidmat ke sektor swasta, ia sekali gus akan melemahkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia.

“Maka sudah pasti golongan ini akan menerima kesan sekiranya mereka kehilangan pekerjaan dan tiada sebarang perlindungan kesihatan dari majikan.”

Menurut bekas Menteri Besar Johor ini, skim tersebut tidak selari dengan prinsip-prinsip perlindungan kesihatan sejagat yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Piagam WHO 1948 mengisytiharkan kesihatan sebagai hak asasi manusia yang menggarap tiga matlamat utama yang berkaitan dengannya.
a. Kesamarataan akses kepada perkhidmatan kesihatan – setiap orang yang memerlukan perkhidmatan harus memperolehinya, bukan hanya mereka yang mampu membayarnya,
b. Kualiti perkhidmatan kesihatan hendaklah berada dalam keadaan yang cukup baik agar dapat menambah baik tahap kesihatan mereka yang menerima perkhidmatan tersebut; dan
c. Rakyat hendaklah dilindungi daripada risiko kewangan, dengan memastikan kos menggunakan perkhidmatan tersebut tidak akan mendedahkan rakyat kepada risiko kewangan.

“Berdasarkan prinsip-prinsip ini, mySalam tidak inklusif memandangkan ia hanya merangkumi 3.69 juta orang dari kumpulan B40. Bagaimana dengan mereka dari kelompok M40 yang turut berhadapan dengan kekangan kewangan dalam mendapatkan perkhidmatan kewangan?

“Jadi, adakah ini bermakna yang Kerajaan hari ini mengabaikan keperluan golongan M40 dalam mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan melalui skim mySalam?

“Sudah pasti golongan M40 akan sangat terkesan sekiranya mereka kehilangan pekerjaan dan sebarang perlindungan kesihatan yang diterima dari majikan selama ini. Malah, mereka yang bekerja sendiri tidak mempunyai perlindungan daripada risiko kewangan akibat kos perubatan yang tinggi, sekali gus menggandakan kesan yang diterima oleh mereka terutamanya semasa kegawatan ekonomi.”

Di peringkat makro, katanya, persoalan timbul, mengapa Kerajaan beralih dari tanggungjawab asasnya dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan sebaliknya memfokuskan kepada memberikan skim insurans?

“Oleh itu, saya menyarankan kepada Kementerian Kesihatan untuk lebih memfokuskan kepada pelaburan yang akan menambah baik infrastruktur penjagaan kesihatan yang seterusnya akan membawa lebih banyak manfaat langsung dan tidak langsung,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.