PH Tidak Mampu Berdepan Dengan Rakyat Gara-Gara Janji PRU Tak Ditunai – Saravanan


KUALA LUMPUR, 24 Jan – Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak mampu untuk berdepan dengan rakyat setelah segala janji yang ditabur pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu tidak mampu dilaksanakan walaupun mereka hari ini telah mendapat mandat dan hampir sembilan bulan memerintah.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, janji mereka seperti Perbadanan Tabung Tinggi Nasional (PTPTN), gaji minium RM1,500, harga petrol dan pelbagai lagi menyebabkan rakyat mula bangkit menyoal apa yang dijanjikan itu.

Menurut beliau sebab itulah hari ini kebanyakan pemimpin kaum India daripada PH tidak menampakkan pergerakan mereka untuk bertemu dengan masyarakat daripada kaum berkenaan sebaliknya lebih berminat kepada masyarakat Orang Asli pada kempen PRK Cameron Highlands yang sedang berlangsung.

“Hari ini masyakat India terutama tidak lagi menerima janji-janji palsu mereka dan begitu juga dengan yang lain. Sebab sebelum ini pun mereka tidak mampu untuk tunaikan dan rakyat juga telah mula sedar hanya Barisan Nasional (BN) mampu membawa perubahan.

“Maka hari ini kita dapat lihat mereka lari dan tidak kelihatan ceramah secara besar-besaran dengan masyarakat India. Kelebihan kita meletakkan calon daripada masyarakat Orang Asli menyebabkan mereka tertumpu kepada kaum berkenaan dalam usaha menagih undi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Diskusi P.078 Cameron Highlands yang dihoskan oleh Datuk Dr Azizan Abdul Majid. Diskusi berkenana disiarkan secara live menerusi medium facebook mediaumnomalaysia.

Saravanan seterusnya menegaskan hari ini PH tidak lagi mempunyai modal untuk mendekati dan menabur janji baharu setelah terperangkap dengan janji lama sebelum ini yang masih belum dilaksanakan.

“Berbanding pada zaman Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, kaum India mendapat pelbagai tumpuan termasuklah soal pendidikan, pembangunan untuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga rumah-rumah ibadat serta macam-macam lagi. Hari ini masyarakat India mula sedar akan perkara ini.”

Tambahnya lagi kerajaan yang ada hari ini cuba memberikan pelbagai alasan berhubung segala janji yang mereka taburkan dan apa yang berlaku sebenarnya memaparkan kelemahan mereka dalam mengurus tadbir negara.

“Dan inilah sebenarnya (PRK Cameron Highlands) peluang untuk rakyat menunjukkan ketidakpuasan terhadap kerajaan PH yang telah menipu sebelum ini. Mana ada kerajaan setelah menang pilihan raya menyatakan bahawa janji-janji pilihan raya hanya manifesto sahaja. Manifesto bukan ‘Bible’ dan macam-macam lagi. Kalau inilah pendirian mereka pada PRU akan datang mereka tidak akan keluarkan sebarang manifesto lagi,” ujarnya.

Saravanan seterusnya memberitahu tindakan MIC memberi laluan kepada calon langsung daripada BN, Ramli Mohd Nor bukan perkara baru kerana itulah budaya BN.

“Parlimen Tapah sebagai contoh bukan kerusi MIC tapi UMNO meminjamkan kepada MIC dan sehingga ke hari ini MIC masih memegang kerusi berkenaan. Jadi begitu juga di Parlimen Cameron Highlands, kita teruskan budaya berkenaan hari ini untuk kebaikan parti dan BN itu sendiri,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.