PRK Cameron Highlands: Jangan Takut Keluar Mengundi – Polis

TANAH RATA, 22 Jan – Polis menasihati pengundi supaya keluar awal dan yakin keselamatan mereka terjamin sepanjang proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis akan mengawal setiap perjalanan PRK, termasuk lalu lintas, agar para pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan selesa dan lancar.

“Saya nasihatkan semua parti yang terlibat dan para pengundi atau penyokong dapat berhemah mengikut peraturan sedia ada, bertoleransi, mengikut undang-undang dan beretika dalam berkempen atau semasa mengundi menurut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal PRK Cameron Highlands di Balai Polis Brinchang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata polis setakat ini menerima 21 laporan pelbagai salah laku sepanjang PRK Cameron Highlands termasuk pemberian wang, khemah yang dirosakkan, dan kertas undi yang ditularkan di media sosial.

Ditanya mengenai insiden kekecohan di Pos Lenjang Kuala Lipis, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan dan polis masih menunggu arahan timbalan pendakwa raya sekiranya perlu memanggil Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Naib Pengerusi DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Dilapor, video yang menunjukkan penginapan UMNO Rompin di Pos Lenjang didatangi Tengku Zulpuri Shah bersama beberapa individu yang didakwa tidak berpuas hati selepas jentera Barisan Nasional (BN) dikatakan ‘membongkar’ tindakan anggota Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen.

Ditanya mengenai dua individu yang mengaku sebagai anggota polis dalam video itu, Mohd Yusri berkata mereka masih lagi bertugas dan akan dipanggil selepas menerima arahan daripada timbalan pendakwa raya.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bagi kerusi parlimen itu terbatal dan tidak sah.

PRK berkenaan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH dan BN serta dua calon bebas.

PH mempertaruhkan M.Manogaran yang juga timbalan pengerusi DAP Pahang manakala BN diwakili Ramli Mohd Nor, seorang bekas polis. Dua calon bebas ialah bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.