Guan Eng Tidak Profesional, Buat Kenyataan Politik Guna Saluran Kerajaan

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng apabila menggunakan saluran rasmi kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan yang dilihat bermotifkan politik seolah-olah ‘memperlekehkan’ kewangan Kerajaan Negeri Pahang.

Katanya, apa yang dilakukan Guan Eng itu sangat jelas bermotifkan politik menjelang hari pengundiaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada Sabtu ini.

“Kenyataan media rasmi biarlah profesional. Jelas sangat bermotif politik sebab PRK Cameron Highlands. Pakai akaun media sosial DAP kalau hendak buat kenyataan politik,” kata Khairy dalam laman Twitter beliau hari ini.

Dalam kenyataan bertarikh hari ini, Guan Eng memberitahu bahawa pada 31 Disember 2017, kedudukan Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri Pahang secara terkumpul adalah negatif RM228 juta dan keadaan defisit mencerminkan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berhemah.

Menerusi kenyataan rasmi itu juga, menteri tersebut turut mempersoalkan mampukah Kerajaan Negeri Pahang menjalankan pembangunan dengan hutang paling tinggi dalam Malaysia sebanyak RM3.2 bilion pada akhir 2018.

Khairy pada masa sama mengingatkan Guan Eng sewaktu pemimpin DAP itu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) telah membantu negeri tersebut menyelesaikan hutang RM655 juta yang perlu dibayar kepada Pusat.

“Jadi tak perlulah bongkak sangat sekarang dengan Kerajaan Negeri Pahang,” kata Khairy.

Tambahnya, beliau sendiri telah menyemak hutang Kerajaan Negeri Pahang yang ‘dipolitikkan’ oleh Guan Eng dalam Laporan Ketua Audit Negara dan mendapati sebahagian besar atau 70 peratus hutang itu adalah berkaitan dengan air.

“Inilah hutang sama yang diselesaikan oleh Kerajaan Pusat untuk Pulau Pinang dulu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.