‘Rule Of Law’ Terus Diketepikan, Suruhanjaya Pilihan Raya Tidak Wujud – Annuar

KUALA LUMPUR, 18 Jan – ‘Rule of law’ terus di ketepikan dan urusan pilihan raya yang merupakan tiang seri paling asas dalam sistem demokrasi tidak harus di persenda dan dipergadaikan, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata demikian ekoran daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat pagi ini bagi memutus dan mengeluarkan writ Pilihan Raya Kecil (PRK), Semenyih yang bakal diadakan berikutan kematian ADUNnya.

“Satu persoalan yg sangat asas (fundamental) dari segi undang undang berbangkit, iaitu, apakah SPR wujud secara teratur dan selari dengan kehendak undang undang, khususnya Perlembagaan Persekutuan?”

Ini kerana katanya, perletakan jawatan Timbalan Pengerusi dan lima orang ahli lain pada 31 Dis 2018, SPR telah dianggap tidak beroperasi atau tidak wujud di sisi perlembagaan.

Jelas beliau, hal ini demikian kerana, SPR sepertimana di bawah Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan 5 orang anggota lain. SPR menurut perlembagaan tidak boleh wujud jika hanya mempunyai komposisi hanya dengan seorang pengerusi.

“Perkataan ‘hendaklah’ di dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa ia adalah keperluan mandatori. Justeru itu, segala tindakan yang dibuat di bawah nama SPR pada ketika ini adalah tidak berpelembagaan dan dikira terbatal.

“Tambahan pula, SPR ketika ini mempunyai 10 hari iaitu sehingga hari ini (18/1/19) untuk mengeluarkan Writ Pilihan Raya selepas kekosongan kerusi DUN Semenyih akan tetapi dengan ketidakwujudan SPR, maka writ pilihan raya tidak harus dan tidak dapat dikeluarkan.

“Perkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan pelantikan ahli-ahli Suruhanjaya ini Mesti di buat oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja dan ini belum di lakukan.”

Tegasnya, mana mungkin Suruhanjaya ini berfungsi dengan hanya seorang ahli sedangkan perlembagaan dengan jelas dan secara wajib (shall), mesti terdiri dari tujuh orang.

“Ini menjadi satu lagi bukti Kerajaan Pakatan Harapan bukan sahaja tidak serius melakukan reformasi malah secara sewenang-wenangnya mentadbir secara otokratik dan membelakangkan prinsip ‘Rule Of Law’

“Asas kepada sebuah negara bangsa adalah Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah suatu buku peraturan yang menentukan batasan dan skop bidangkuasa yang kerajaan ada terhadap rakyatnya.

“Kerajaan apabila menjalankan kuasanya dan tadbir urusnya tidak seharusnya bertindak di luar skop Perlembagaan Persekutuan dan tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang, tidak kira monarkinya, Sultannya, Perdana Menterinya atau mana-mana agensi mewakili kerajaan.”

Katanya, ini adalah suatu ciri-ciri penting dalam demokrasi dan kegagalan untuk menuruti segala keperluan asas kepada prinsip undang-undang adalah suatu ancaman kepada demokrasi.

“Adalah menjadi pandangan saya bahawa orang perseorangan tidak boleh membentuk suatu Suruhanjaya.

“Selain fakta yang jelas bahawa tiada semak dan timbang di dalam Suruhanjaya, undang-undang tertinggi di negara ini haruslah ditegakkan, hanya selepas itu yang membolehkan seseorang menyatakan bahawa negara kita ini mengamalkan prinsip mulia kedaulatan undang-undang,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Ketereh. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.