Tidak Tunai Janji… Itu Pemimpin Yang Tiada Moral Integriti – Najib


KUALA LUMPUR, 16 Jan – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan tegas berkata seorang pemimpin itu diukur kepada moral integritinya.

Menurutnya, pemahaman masyarakat umum perkara-perkara yang melibatkan salah guna kuasa dan rasuah adalah satu dimensi daripada konsep integriti.

“Tapi ada satu lagi integriti yakni moral integriti. Maknanya bila kita cakap sesuatu terutama sekali bila kita janji kepada rakyat, itu merupakan amanah kita, janji kita. Itu menentukan integriti kita sebagai seorang pemimpin dan sebuah parti apa yang kita tawarkan kepada rakyat yang mengundi berdasarkan kepada tawaran kita.

“Jadi bila kita telah menawarkan sesuatu yang kita tahu tidak boleh, tidak mungkin dapat dilakukan. Ini sudah terbukti selepas hampir lapan bulan sebahagian besar daripada janji-janji seratus hari itu tidak dapat ditunaikan sama sekali.”

Kerana itulah jelasnya, apabila Barisan Nasional (BN) merangka manifesto perkara utama adalah kemampuan untuk melaksanakannya.

“Saya beritahu kita ini kerajaan dan kita ini tidak boleh membuat sesuatu yang kita tahu kita tak mampu atau tak boleh kita laksanakan.

“Sebab itulah manifesto kita yang kita rangka itu, kita rangka yang terbaik tetapi yang terbaik dalam ruang lingkup yang kita mampu laksanakan,” jelasnya yang kesal kerana BN kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu disebabkan pembohongan dan penipuan atas janji-janji palsu Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya sehinga kini tidak mampu mereka laksanakannya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian dalam wawancara eksklusif ‘Suara dari Jauh’ bertajuk ‘Mencari Kebenaran, Soalan Berani, Jawapan Ikhlas’ yang disiarkan secara langsung malam tadi di laman Facebook UMNO-Online.

Dalam masa yang sama, Najib turut terkilan melihat apa yang berlaku kepada ekonomi negara kini yang semakin merudum dengan kejatuhan Bursa Malaysia dan Ringgit Malaysia sejak PH memerintah berbeza ketika zaman pentadbirannya.

“Bila saya jadi perdana menteri ekonomi negara kita sekitar 723 Bilion Ringgit Malaysia, itu saiz ekonomi Malaysia. Bila saya tamat sebagai perdana menteri saiz ekonomi kita telah melonjak kepada 1.35 Trilion Ringgit Malaysia.

“Bererti bahawa saya telah berjaya mengembang ekonomi, menambah nilai ekonomi sebanyak lebih enam ratus bilion (Ringgit Malaysia). Jadi maknanya sudah nampak kejayaan kita bukanlah di awang-awangan, bukanlah ini janji di atas kertas tapi realiti,” katanya lagi.

Begitu juga Najib bimbang mengenai masa hadapan dasar transformasi negara serta program-programnya seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan lain-lain lagi yang sebelum ini begitu rapi sekali dirangka oleh BN.

“Sebahagiannya telah pun kita laksanakan dan disambut begitu hangat oleh rakyat misalnya sistem pengangkutan awam kita, infra rakyat kita dan juga bantuan-bantuan yang kita berikan kepada rakyat.

“Serta projek-projek tertentu yang kita lakukan secara skala besar telah mengubah landskap Malaysia,” ujarnya.

Namun katanya, apabila melihatkan senario sekarang, jelas kerajaan PH telah mengambil langkah terkebelakang apabila bertindak membatalkan beberapa projek dan program serta diubah namanya. – Media UMNO.