Digelar Kleptokrat, Perompak Dan Lanun Bugis… Najib Anggap Lumrah Bila Jadi Pemimpin Utama

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tenang menjawab pertanyaan yang dilontarkan kepadanya walaupun terdapat soalan yang berunsur kontroversi dan sensitif.

Reaksi sedemikian dapat dilihat dalam wawancara eksklusif ‘Suara dari Jauh’ bersamanya bertajuk ‘Mencari Kebenaran, Soalan Berani, Jawapan Ikhlas’ yang disiarkan secara langsung malam tadi di laman Facebook UMNO-Online.

Antaranya persoalan yang ditimbulkan oleh moderator, Kamarulzaman Habibur Rahman yang juga antara bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah mengenai gelaran kleptokrat, perompak dan lanun bugis yang dilemparkan kepadanya.

Dengan tenang, Najib mengatakan pelbagai gelaran yang diterimanya adalah sama seperti apa yang pernah diterima oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri Keempat dahulu.

“Kalau kita lihat Dr Mahathir masa jadi perdana menteri pun dia jadi sasaran juga, kata-kata (yang dilemparkan) pun teruk juga mahafiraun, mahazalim segala-gala maha pada dialah.

“Kalau kita lihat reformasi punya pergerakan sehinggalah kepada tahun 2013 ucapan-ucapan Anwar Ibrahim, ucapan Kit Siang, Guan Eng, Azmin Ali bila saya tonton balik video-video ucapan mereka memang Mahathir ini diselar habis-habisan, termasuklah kekayaan keluarganya jadi sasaran,” ujarnya lagi.

Justeru Najib berpandangan jika sesorang itu menjadi pemimpin utama, itulah yang perlu dihadapi walaupun perit.

“Tetapi silap saya mungkin tindak balas saya tidak menjelaskan, sebab saya beranggapan benda ini tidak masuk akal orang tidak boleh terima, itu silap saya,” katanya.

Begitu juga apabila membicarakan mengenai perasaannya apabila diri dan keluarga dihina.

Menurut Najib, perkara sedemikian memang amat terkesan kepadanya kerana beliau percaya semua kata-kata nista dan hinaan yang dilemparkan tidak sepertimana yang dilakarkan.

“Memang saya terasa amat sangatlah tapi oleh kerana saya tidak seperti mana yang dilakarkan oleh mereka daripada kata-kata nista mereka itu, saya beranggapan bahawa orang takkan percaya, mungkin. Kalau dia percaya pun, bukan sebahagian besar yang percaya.

“Mungkin itu kesilapan sayalah, saya tak melakukan sesuatu tindak balas waktu saya ada kesempatan sebab tumpuan saya buat kebaikan kepada rakyat,” ujarnya.

Ketika menjadi perdana menteri, Najib turut diselar oleh beberapa pihak kerana memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hingga digelar sebagai rasuah dan ‘cash is king’.

Tetapi bagi Najib, pemberian secara tunai itu merupakan satu wadah bantuan kepada rakyat kerana telah wujud sebelumnya pemberian kebajikan dalam pelbagai bentuk barangan dan perkhidmatan.

“Bila perkenalkan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) maknanya itu ‘consumption with tax’. Orang yang lagi kaya lebih berbelanja lagi banyak barang, jadi dari sumber kekayaan atau hasil itu saya pindahkan kepada rakyat.

“Bila saya pindahkan kepada rakyat apa bentuk yang paling mudah, tentu bila bagi wang tunai itu paling mudahkan… bila dia ada wang tunai, dia boleh beli di kedai, di pasar tani, dia boleh kepada anak dia, jadi mudah sebab itu bila dikatakan ‘cash is king’ maknanya dimudahkan bagi bantuan kepada rakyat.

“Tapi bukan rasuah sebab kita beri pada semua bukan kita beri hanya kepada penyokong UMNO, bukan kata bila dapat ini mesti masuk UMNO, tiada… kita beri kepada semua malah ada setengah majlis tu pembangkang yang dahulu sampai nak minta bantuan,” jelasnya yang sentiasa bertindak memikirkan kepentingan rakyat serta mahu menjadikan negara ini mempunyai masyarakat yang seimbang, adil dan saksama.

Bahkan katanya, Lim Guan Eng semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) turut mahu mengikuti jejak langkah Barisan Nasional (BN) meneruskan dasar tersebut.

“Malah saya tengok kerajaan sekarang ini dalam ucapan Guan Eng sebelum pilihan raya, dia janji nak bagi dua ribu (Ringgit Malaysia) bila dengar saya sebut nak bagi dua ribu (Ringgit Malaysia) BR1M, dia kata kita pun boleh bagi dua ribu (Ringgit Malaysia) tapi bila dia ada kuasa sekarang kita tahulah apa berlaku,” sinisnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.