Anak Kalah Naib Presiden Antara Punca Tun Mahathir Musuhi Najib…


KUALA LUMPUR, 16 Jan – Selain tidak mahu menurut kemahuan berhubung isu jambatan bengkok, kegagalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir merebut jawatan Naib Presiden dalam pemilihan UMNO pada tahun 2013 mungkin menjadi punca perseteruan Tun Dr Mahathir Mohamad dengannya, jelas bekas Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri Keenam itu, beliau menyokong Mukhriz bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi kerana tiga penyandang Naib Presiden baru sahaja sepenggal memegang jawatan tersebut.

“Saya tidak pernah menentang Mukhriz, tapi bila Mukhriz beritahu saya bila saya tanya, dia cuma nak bertanding Majlis Tertinggi sahaja, saya pun kata bagi sokongan kepada tiga penyandang, Datuk Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Datuk Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan Datuk Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), tiga itu baru satu penggal.

“Pada saya Mukhriz baru jadi menteri besar belum lagi menang Majlis Tertinggi jadi kalau tak menang Majlis Tertinggi macam mana nak melangkau ke Naib Presiden, sepatutnya ‘round’ kemudian dia boleh bertanding Naib Presiden.

“Dia tiada jawatan utama dalam parti tapi saya ambil dia sebab saya nak dia antara pemimpin muda yang mungkin ada masa depan yang baik. Jadi saya tak pernah ada prejudis terhadap dia,” jelasnya dalam satu wawancara eksklusif ‘Suara dari Jauh’ bertajuk ‘Mencari Kebenaran, Soalan Berani, Jawapan Ikhlas’ yang disiarkan secara langsung di laman Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Najib turut bersetuju dengan pendapat antara faktor Mukhriz dilantik sebagai menteri besar adalah sebagai menghargai sumbangan besar Tun Mahathir kepada parti dan politik dirinya sendiri.

“Saya suruh Datuk Bashah (Ahmad Bashah Md Hanifah) turun dan dia terima bagi laluan kepada Mukhriz. Saya terus bantu dia sewaktu dia menjadi menteri besar,” katanya lagi.

Berhubung dengan wang sumbangan keluarga Diraja Arab Ssaudi yang berulang kali dimanipulasi oleh Tun Mahathir Mohamad, Najib menegaskan ianya adalah tulen.

“Ia berpunca daripada hubungan baik saya dengan keluarga Almarhum Raja Abdullah yang amat menyokong pentadbiran saya dan bila saya minta pertolongan daripada Raja Abdullah, dia bersetuju beri bantuan kepada saya.

“Jadi, sebab itulah kita dapat sumbangan daripada Arab Saudi dan ia terpaksa dimasukkan ke dalam akaun peribadi saya sebab itu dikira hubungan saya dengan dia, personal pada dia dan saya beranggapan itulah kaedah terbaik.

“Saya telah maklumkan kepada Bank Negara pada masa itu supaya duit itu telus kerana kalau ada sesuatu yang tidak kena saya mengharapkan Bank Negara akan beritahu kepada sayalah, dan bila dah habis pilihan raya yang ketiga belas, bukan yang baharu ini, saya telah pulang balik duit itu,” tambahnya.

Justeru Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dengan tegas menafikan tohmahan segelintir pihak yang mengatakan beliau sebagai perompak dan penyamun.

“Jadi kalau ada anggapan saya ini duduk atas timbunan wang tunai, itu tidak betul, tiada… Saya pulang balik malah kalau saya ini dituduh sebagai merompak ataupun menyamun, perompak mana ada pulang balik duit, baik saya cari jalan macam mana orang kata nak raih untuk diri saya.

“Pemulangan semula wang tersebut bukan sebagai satu perjanjian tetapi ia satu tanggungjawab sesudah menggunakannya untuk urusan pilihan raya dengan mengembalikannya semula.

“Dan saya beranggapan bila ada pilihan raya akan datang, saya mohon balik mudah-mudahan dia akan bagi,” jelasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.