Raja Bukan Boneka, Rakyat Berpeganglah Kepada Sistem Raja Berperlembagaan

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam menekankan bahawa Raja-raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong bukanlah boneka, ‘puppet’ atau duduk saja tanpa ada apa-apa peranan sebaliknya Raja adalah pemerintah dan ketua kepada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, adalah amat menyedihkan apabila apa pihak yang seakan mahu menghapuskan institusi Raja, menghina dan bertindak sangat biadap sedangkan mereka ini adalah warganegara Malaysia.

“Warganegara Malaysia kena lebih bertanggungjawab. Kena ada pendidikan sejarah yang betul, bukan yang ditambah-tambah kerana tak puas hati, bukan kerana tukar kepimpinan maka boleh tambah-tambah dan silibus sejarah ditulis dengan begitu cermat kerana kita mahu wujudkan bangsa Malaysia yang lahir dengan perpaduan sebagai rakyat Malaysia, tak kira apa kaum, apa bangsa, apa warna kulit, apa agama sebab memang kita ini masyarakat majmuk.

“Kita adalah warganegara, apa pun kaum kita ada hak yang sama dan hormatlah hak Raja-raja juga. Raja adalah pemerintah di negeri-negeri dan juga Persekutuan jadi apa hal rakyat untuk menghina terhadap pemerintah…memang patut ditangkap pada sesiapa yang menghina Raja.

“Tindakan perlu dibuat kerana kerajaan bertanggungjawab kepada menjaga keharmonian dan mendokong Perlembagaan Negara, mendokong undang-undang dan mendokong kesejahteraan rakyat, bukan hanya pada satu kelompok sahaja,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Diskusi U3.0 yang mengupas tajuk ‘Institusi Raja’ malam tadi.

Jelas beliau, perkara yang telah ditulis dengan jelas dalam undang-undang negara iaitu Perlembagaan Persekutuan ialah bidang kuasa Agong dan kuasanya adalah jelas iaitu Agong adalah kuasa tertinggi dalam sistem pentadbiran negara.

“Ketua utama negara adalah Yang Di-Pertuan Agong dan hendaklah diberi keutamaan dari segala hal. Perlembagaan jelas Agong adalah ketua utama negara.

“Kalau nak menghapuskan institusi Raja, nak menghina institusi Raja, sangat biadap, sangat tidak bertamadun dan mereka tak tahu tentang negara tetapi jadi warganegara. Tak tahu bahasa Melayu, tak tahu Raja-raja Melayu, tanpa tahu asal usulnya, tanpa tahu pengorbanan orang-orang tempatan sedangkan Institusi Raja itulah yang membina tamadun yang disebut ‘civilization’ yang diakui oleh British. Sebab itu apabila kita merdeka Raja tak dibuang.

“Di negara kita ini, sistem beraja tidak pernah dibuang sama ada wujud penjajah, dinaungi… menaungi dan lain-lain.”

Katanya, Raja sebagai pemerintah, mengarahkan semua perintah itu sebagai undang-undang dan setiap perkara di bawah perhatian Baginda.

“Pengorbanan Raja-raja Melayu yang sangat besar adalah mengurangkan kuasa mutlak mereka untuk jadi Raja Berperlembagaan.

“Apa saja keputusan datangnya dari Raja… Kita tidak boleh sewenang-wenangnya ketepikan Raja-raja kita kerana Baginda adalah pemerintah negeri. Menteri Besar atau Ketua Menteri mesti rujuk atau maklumkan kepada Baginda.

“Maknanya raja bukan boneka, atau bukan ‘puppet’, atau duduk saja tanpa ada apa-apa peranan. Ini yang ramai tidak faham khususnya mereka yang tak ambil Sejarah, tak baca Perlembagaan, yang tak ada sentimen kebudayaan sebab katanya budaya Melayu… bukan budaya Malaysia sedangkan Raja-raja itu bukan Raja-raja
Melayu sahaja tapi Malaysia,” tegas beliau lagi.

UMNO Online menyiarkan diskusi tersebut melalui medium facebook rasmi parti, www.facebook.com/mediaumnomalaysia. – MediaUMNO