PH Hanya Pandai Tabur Janji Untuk Raih Sokongan, Bukan Perkara Pelik – Wan Rosdy


JELAI, 15 Jan – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail percaya Pakatan Harapan (PH) hanya pandai tabur janji pada tempoh masa berkempen dalam usaha meraih sokongan rakyat khususnya dikalangan pengundi bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands.

Justeru beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Besar Pahang mengingatkan pengundi agar tidak mudah terpengaruh dengan janji yang ditabur sepanjang musim berkempen PRK parlimen terbabit seperti soal pengurusan tanah dan sebagainya.

“Pengundi jangan percaya kerana mereka hanya mahu dapatkan undi semata-mata dan akan membuat pelbagai dakwaan kononnya itu bidang kuasa mereka. Sebenarnya ada pembahagian kuasa.

“Soal polis adalah Persekutuan, kastam Persekutuan sebagai contoh namun soal tanah membabitkan kerajaan negeri. Kalau mereka kata tanah ini hal ehwal mereka, sebenarnya hanya mahu kelirukan rakyat.

“Kalau mereka berjanji untuk menyelesaikan sebarang isu membabitkan tuntutan dan cukai tanah di kawasan ini, ia adalah tidak betul dan satu pembohongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Calon Barisan Nasional (BN) di Kampung Tanjung Gahai, dekat sini, semalam. Turut hadir calon BN, Ramli Mohd Nor.

Wan Rosdy seterusnya menambah bukan perkara pelik PH akan memberikan pelbagai janji dalam tempoh kempen bagi mendapatkan undi dan penduduk diharapkan agar membuat pilihan yang tepat pada hari mengundi nanti. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.