Kerajaan Dicadang Jadikan Institusi Raja Agenda Nasional


KUALA LUMPUR, 15 Jan – Kerajaan Persekutuan yang memerintah hari ini perlu menjadikan Institusi Raja sebagai Agenda Nasional untuk menyatupadukan rakyat dan menentukan bahawa keadilan sosial serta kenegaraan terus terjaga.

Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam menegaskan bahawa pemahaman tentang bidang kuasa Raja, peranan Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan perlu dibuat khususnya kepada golongan muda.

“Sejarah serta tamadun yang telah kita bina patut kita hargai yang mana ia berkait dengan Raja-raja Melayu.”

Ujarnya, sesiapa saja yang menjadi warganegara Malaysia bermakna menjadi rakyat Persekutuan maka perlu angkat sembah kepada Yang Di-Pertuan Agong dan memahami kewujudannya.

“Anak-anak muda perlu belajar, jangan syok sendiri dengan bercakap yang menunjukkan kejahilan, kecetekan pengetahuan atau jangan menunjukkan emosi kerana Institusi Raja ini dah berjalan sejak bertahun-tahun dulu, dari zaman kesultanan Melayu sedangkan anak muda ini baru hidup 24 atau 25 tahun.


“… atau orang-orang yang minat politik atau nak tunjuk terlalu simpati… terlampau pro dengan parti dia pun janganlah sampai nak buang Institusi Raja kerana sistem ini tak ada kena mengena dengan politik.”

Jelas beliau, Majlis Raja-raja berada di luar Parlimen, ada entiti sendiri dan bidang kuasa yang jelas termaktub dalam Perlembagaan.

“Rakyat ini hanya ada pilihan raya untuk pilih pemimpin. Raja jangan dikacau. Kita ada perlembagaan, peganglah dan ikutlah undang-undang yang telah termaktub.

“Kerajaan yang memerintah pula jangan hanya mementingkan satu-satu kaum. Masa berkempen parti politik memang ada kelompok tertentu tapi apabila dah menang kena mentadbir untuk semua.” ujarnya menerusi Diskusi U3.0 mengupas isu ‘Institusi Raja Malaysia’ secara langsung malam tadi di Facebook UMNO Online.

Kata beliau, isu sekarang ini ialah Baginda Yang Di-Pertuan Agong meletak jawatan jadi kuasa Majlis Raja-raja yang akan menentukannya.

“Pelantikan Yang Di-Pertuan Agong adalah hak Raja-raja kerana Raja adalah pemerintah negara, tidak ada kena mengena dengan mana-mana fahaman politik.

Terdahulu, Dr Ramlah turut menceritakan berkaitan kehebatan orang Melayu hingga mampu membina sebuah empayar dan melahirkan satu tamadun.

Menurutnya Tamadun Melayu juga boleh diperolehi dalam catatan-catatan sejarah Tom Pires, daripada tulisan-tulisan Cina, Arab dan juga Sanskrit.

“Kerajaan Melayu sebenarnya bermula dari satu sebuah kerajaan yang kecil, tetapi oleh kerana kebijaksanaan Raja-rajanya, berani membuka kawasan baharu dan selepas itu menjadi pusat pengumpulan barang dan menjadi pusat penyebaran Islam, maka Melaka menjadi sebuah kerajaan dan akhirnya menjadi sebuah empayar yang besar hingga ke seluruh jajahan Melayu dan kita dapati jajahan Melaka itu hingga meliputi Timur Sumatera.

“Fakta ini bukan sahaja kita dapat dalam sejarah Melayu, tetapi juga dapati di sejarah Tom Pires, daripada tulisan-tulisan Cina dan juga tulisan-tulisan Arab dan juga dari tulisan-tulisan Sanskrit.”

Bicara minda yang dihoskan oleh Datuk Dr. Azizan Abd Majid itu turut memetik pada awal perbincangan kata-kata ahli falsafah “Apabila kita gagal melihat masa silam, menyukarkan kita untuk memahami masa depan.”

Tambah Dr Ramlah jelaslah Tamadun Melayu ini telah dibina oleh kaum Melayu yang bergerak dan akhirnya seluruh kawasan ini dinamakan Tanah Melayu atau Semenanjung Emas dan ia telah tersebut sejak zaman Yunani.

“Melaka atau Semenanjung Emas ini bukan sesuatu yang baru dan ia telah dicatitkan oleh pengembara-pengembara China, Arab dan lain-lain dikumpul dan akhirnya ia jadi satu sejarah yang jelas, berfakta dan ada rujukan.

“Sebab itu yang penting pada hari ini ialah tradisi tamadun Melayu itu telah diasaskan oleh orang Melayu dan ia telah menamakan satu kawasan dengan nama Tanah Melayu dan di situlah kerajaan-kerajaan Melayu telah dibina berasaskan kepada model kerajaan Melaka,” katanya lagi. – Media UMNO