Warga Peneroka Terus Teraniaya… Janji PH Sebelum Ini Sekadar Janji Pilihan Raya

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Pengerusi Penaja Pembela Bangsa Felda, Anuar Manap melihat segala janji manis yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan (PH) kepada warga Felda khususnya untuk menghapuskan 50 peratus hutang peneroka hanya sekadar janji pada pilihan raya semata-mata.

Ini kerana menurut beliau setelah lapan bulan PH mengambil alih kerajaan bukan sahaja perkara tersebut tidak menampakkan bayang-bayang malah warga Felda turut dihimpit dengan pelbagai kesukaran termasuklah penurunan harga komoditi yang akhirnya menyebabkan peneroka menanggung kesengsaraan.

“Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu mereka ini (dulunya pembangkang) masuk dengan lori ‘pick-up’ dan sebagainya dengan membawa segala janji manis termasuklah dengan janji kononnya untuk sama-sama membawa perubahan dan kehidupan yang jauh lebih baik kepada golongan tersebut.

“Antara yang menjadi popular adalah menghapuskan 50 peratus hutang. Walaupun mereka mengatakan sebelum ini akan menghapuskan terus hutang peneroka tetapi yang sebenarnya dijanjikan adalah 50 peratus… tetapi hari ini apa sudah jadi. Bayang-bayang pun tak nampak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Diskusi U.30 yang mengupas topik ‘Nasib Rintihan Warga Felda’ yang dihoskan Datuk Dr Azizan Abd Majid. Program berkenaan disiarkan secara Live menerusi medium rasmi UMNO-Online di pautan Https://.www.facebook.com/mediaumnomalaysia.

Anuar seterusnya mempersoalkan bagaimanakah janji berkenaan untuk dilaksanakan memandangkan hutang di kalangan peneroka masing-masing berbeza dan ini tentunya akan menimbulkan kesukaran.

“Analogi begini… seorang peneroka hutang RM150,000 dan saya sebagai peneroka yang lain tanam semula tidak menggunakan Felda dan saya tanam sendiri serta tidak mempunyai hutang dengan Felda.

“Yang meminjam RM150,000 tadi dapat diskaun 50 peratus dan jumlahnya akan jadi RM75,000. Bagaimana dengan peminjam lain dengan hutang yang sedikit kerana hutang masing-masing bukannya sama. Bagaimanakah sistem berkenaan dilaksanakan dan adilkah perkara tersebut kerana jumlah yang berbeza.

“Mereka boleh bercakap dan boleh berjanji namun untuk dilaksanakan mereka tidak boleh melaksanakannya. Apabila mereka dah pegang kerajaan dan berada sendiri di dalam Felda baru mereka tahu perkara yang sebenarnya. Dulunya peneroka dianggap dizalimi, dianaiyai, ditipu dan macam-macam lagi. Hari ini bagaimana nasib golongan ini.

“Mungkin hari ini peneroka dah rasa kesannya dan generasi baharu pun sudah mula merasai apabila ketiadaan pelbagai insentif termasuklah dengan penurunan harga sawit. Mereka pun rasanya agak tertekan,” ujarnya.

Tambahnya lagi kehidupan warga peneroka selepas kejatuhan harga sawit amat membebankan dan merupakan satu masalah besar jika perkara ini terutama  berkaitan harga sawit terus berlanjutan.

“Saya pun dapat saranan dan cadangan daripada peneroka yang menyatakan agar hutang-hutang ini ditangguhkan dahulu selama beberapa bulan sehingga harga sawit kembali stabil dan barulah ditolak hutang mereka. Ini kerana difahamkan setelah ditolak hutang dan sebagainya pendapatan golongan ini cukup terjejas,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.