Kenaikan Tarif Air: Sampai Bila Kerajaan Dap Mahu Menyusahkan Rakyat?


NIBONG TEBAL, 10 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal membantah sekeras-kerasnya kenaikan tarif air yang akan dinaikkan sehingga 20 peratus oleh Kerajaan Dap Pulau Pinang seperti yang diumumkan oleh Ketua Menterinya semalam.

Ketuanya, Mohd Norhiesam Ismail berkata, tindakan Kerajaan Dap Pulau Pinang ini langsung tidak mengambil kira kepentingan rakyat negeri ini yang semakin terhimpit dengan bebanan sara hidup dan kos barang yang semakin meningkat sejak cukai SST diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pemuda UMNO Nibong Tebal amat kecewa dengan membantah tindakan kerajaan negeri ini. Sudahlah pelbagai bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu dimansuhkan dan dikurangkan, kini tarif air pula dinaikkan lagi.

“Tidak adakah rasa belas kasihan kerajaan negeri kepada permasalahan rakyat dibawah? Sebenarnya, sejak Dap memerintah Negeri Pulau Pinang sepanjang 10 tahun ini, sudah empat kali tarif air dinaikkan dan surcaj air dikenakan 100 peratus.

“Kerajaan terdahulu (BN) tidak pernah menaikkan tarif air selama 18 tahun. Kerajaan apakah ini? Kononnya ingin membela nasib dan mengurangkan bebanan hidup rakyat tetapi hanya menyusahkan rakyat,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Norhiesam, kenyataan Ketua Menteri kononnya kenaikan ini adalah untuk penstrukturan industri perkhidmatan air di negeri ini adalah tidak boleh diterima kerana yakin Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang mempunyai kewangan, keuntungan puluhan juta setiap tahun dan pendapatan yang kukuh dapat menampung permasalahan ini.

“Adakah Kerajaan Dap Pulau Pinang secara sengaja ingin terus mengaut keuntungan dengan memaksa rakyat membayar melalui kenaikan tarif air ini? Tidak untung lagikah kerajaan Dap selama ini dengan penjualan beribu-ribu hektar tanah dan hak kerajaan digadaikan bagi memenuhi kantung dan poket mereka.

“Kini rakyat pula dibebankan lagi dengan cukai-cukai pintu serta pembangunan yang dinaikkan dan paling sedih rumah-rumah yang didirikan tidak mampu dimiliki oleh rakyat sendiri di negeri ini kerana harga yang terlalu mahal.

“Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, hentikanlah tindakan yang hanya mengaut keuntungan ini. Carilah alternatif serta sumber yang mampu menguruskan supaya tarif air ini tidak naikkan dan hentikanlah projek-projek mega yang tidak menguntungkan rakyat di bawah ini,” tegas beliau lagi.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan akan menaikkan kadar tarif air di negeri terbabit selaras dengan pengumuman kerajaan Persekutuan yang dibuat oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.